KUANTAN: Kadar bayaran parkir di bawah seliaan Majlis
Perbandaran Kuantan (MPK) meningkat sehingga 50 peratus berbanding tempoh sama
pada tahun 2019.
Yang Dipertuanya, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, jumlah
tersebut meningkat menjadikan hasil kutipan bayaran parkir melebihi RM1 juta
menerusi penggunaan aplikasi PahangGo.
Beliau berkata, kaedah bayaran menerusi atas talian
menggunakan aplikasi tersebut memberikan kemudahan kepada orang ramai.
“Kita telah menjalin kerjasama dengan PahangGo terutama
dalam membuat bayaran parkir dan penggunaannya lebih mudah selain menggunakan
kupon yang boleh dibeli menerusi 500 agen di seluruh daerah itu,” katanya.
Penggunaan aplikasi itu juga dilihat lebih mesra pengguna
apabila golongan berusia juga dapat menggunakannya dengan mudah.
Tambahnya, kadar penggunaan kupon juga turut meningkat
selepas perlaksanaan perubahan kadar kompaun parkir oleh MPK beberapa bulan
lalu.
“Kutipan sehingga Mei hingga Julai 2019 adalah sebanyak
RM632,943, namun pada Mei 2020 sedikit berkurangan kerana perlaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mencatat sebanyak RM209,000 sahaja.
“Pada Julai 2019, sebanyak RM664,868 berjaya dicatat, namun
sebaik sahaja penguatkuasaan dilaksanakan pada tahun ini, sebanyak RM1,136,253
berjaya dicatatkan, ini merupakan satu peningkatan yang amat ketara,” katanya.
Dalam pada itu, Dato’ Hamdan berkata, MPK juga terpaksa
menanggung tunggakan sebanyak RM10.3 juta dalam tempoh 10 tahun.
Justeru, MPK perlu meningkatkan penguatkuasaan bagi
memastikan tunggakan tersebut dapat dikurangkan selain memberi kesedaran
terhadap orang ramai khususnya masyarakat di daerah Kuantan.
Beliau berkata, kadar parkir MPK sebanyak 65 sen sejam
adalah kekal sejak tahun 2013 dan antara kadar terendah berbanding beberapa
negeri lain di Malaysia.
Kadar pematuhan orang ramai juga semakin meningkat dengan
wujudnya kesedaran terhadap tanggungjawab masing-masing.
SUMBER – PAHANGMEDIA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor