KUANTAN - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Pahang menggesa Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui menarik balik permohonan yang
difailkan di Mahkamah Tinggi bagi mencabar arahan kerajaan Pahang yang
mewajibkan tulisan jawi pada papan tanda dan iklan di semua premis perniagaan
di negeri ini.
Pengerusinya, Roslan Md Desa berkata, pihaknya turut
mendesak ADUN dari DAP itu membuat permohonan maaf di atas tindakannya mencabar
titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Mustafa Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah yang juga Sultan Pahang supaya tulisan jawi diperkasakan di negeri
ini.
Beliau berkata, pihaknya akan terus mempertahankan dan
memperjuangkan tulisan jawi sekali gus memberi sokongan kepada kerajaan negeri
dan Majlis Daerah Raub yang telah dinamakan sebagai responden dalam saman
dikemukakan itu.
"Ummah Pahang tidak akan teragak-agak untuk mencelah
kes ini di mahkamah dan telah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.
"Justeru, kami mendesak ADUN Tras menarik semula
permohonan yang telah dibuat di mahkamah serta memohon maaf kerana telah
mencabar titah Seri Paduka," katanya.
Roslan berkata, DAP sepatutnya mengekalkan kerukunan negara
bangsa dan hidup saling hormat menghormati.
"Dakwaan Yu Hui kononnya mereka perlu diberikan hak
memilih untuk tidak menggunakan jawi, adalah tidak berasas," katanya.
Yu Hui memfailkan permohonan mencabar ketetapan kerajaan
Pahang untuk mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis
perniagaan di negeri itu.
Permohonan itu dibuat 30 Julai lalu di Mahkamah Tinggi
Kuantan bagi menyemak semula arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri dan pihak
berkuasa tempatan berhubung perkara itu, sebelum ini.
Kerajaan negeri memutuskan semua premis perniagaan dan papan
tanda jalan di negeri ini menggunakan tulisan jawi berkuatkuasa sejak 1 Januari
lalu.
Penggunaan tulisan jawi itu selari dengan titah Yang
di-Pertuan Agong yang juga Sultan Pahang supaya tulisan berkenaan diperkasakan
di negeri ini.
SUMBER : SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor