Pages

Friday, July 3, 2020

RAJU, 33 TAHUN DI FELDA CHINI, SELESA DIKELILINGI ‘ORANG BAIK-BAIK’ SEBAGAI KELUARGA




PEKAN, 3 Julai -- Nekad untuk berhijrah ke Gugusan Felda Chini hampir 33 tahun lepas, A. Selvaraju, seorang peneroka di Felda Chini Timur 5 dekat sini, tidak pernah menyesal dengan keputusannya untuk menyertai tanah rancangan itu walaupun menjadi satu-satunya peneroka berbangsa India di Felda Chini.


Selvaraju, 65, atau lebih dikenali sebagai Raju dalam kalangan masyarakat setempat berkata beliau mula menjadi 'keluarga' Felda sekitar November 1987 dan sejak itu, tidak pernah terfikir untuk berpindah kerana selesa dengan kehidupan dilaluinya.


Walaupun berbeza bangsa dan agama dengan peneroka yang lain, Selvaraju berkata tidak pernah sekalipun keluarganya berasa tersisih malah semua 20 keluarga di blok Feldanya hidup dengan harmoni serta saling bantu-membantu selain selesa dengan persekitaran yang sederhana.


"Hidup di sini tiada masalah... keluar ke ladang pukul 6.30 pagi dan pulang pukul 7.00 petang. Sesekali bersama jiran menyertai pelbagai aktiviti. Tiada tekanan, jadi badan rasa lebih sihat. Waktu tidur juga terjaga kerana keadaan persekitaran yang sunyi.


"Setiap bulan dapat dividen Felda yang boleh membantu menambah pendapatan bulanan. Bantuan lain daripada Felda juga ada dan paling istimewa, kami di sini dikelilingi orang yang baik-baik," katanya semasa ditemui di rumahnya di sini.


Mengimbas perjalanan hidupnya, Selvaraju berkata beliau membuat permohonan menjadi peneroka pada tahun 1984, dan mendapat tawaran untuk menyertai Felda Selendang 1, Rompin, kerana pegawai Felda ketika itu bimbang beliau tidak boleh menyesuaikan diri di Felda Chini kerana tiada rakan sebangsa.


Bagaimanapun, Selvaraju yang dilahirkan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan bertegas mahu ke Felda Chini lalu memaklumkan kepada pegawai itu bahawa dia sudah biasa dengan persekitaran kaum Melayu kerana pernah bekerja di Felda Jengka 1 pada 1971 selain pernah menetap di tanah rancangan di Rompin. 


Sebaik sahaja permohonan itu diluluskan, orang pertama dimaklumkan ialah isterinya M.Chinnamah, 61, yang juga tidak mempunyai masalah untuk membawa lima anak perempuan mereka berpindah sebelum anak lelaki tunggal mereka lahir di Felda Chini.


"Semasa itu, kami diberikan tanah dan rumah yang dilengkapi air sebelum bekalan elektrik diterima lapan bulan kemudian. Waktu itu saya sudah ada kereta dan ada masa pintu rumah diketuk pada waktu malam oleh jiran yang mahu minta bantuan menghantar isteri yang hendak bersalin atau kecemasan lain.


"Disebabkan saya sering keluar awal ke ladang, jiran-jiran akan membawa anak saya ke sekolah dengan membonceng motosikal bersama anak mereka dan menghantar mereka pulang, jika saya tidak dapat berbuat demikian. Semangat kejiranan itu yang saya mahu," katanya.


Selvaraju berkata rumahnya menjadi tumpuan sewaktu Deepavali, kerana beliau akan meminta jirannya Amir Sabar, 63, dan Fatimah Man, 65, untuk memasak juadah daripada kambing dan hasil laut untuk dijamu kepada semua penduduk di blok itu.


"Bila hari raya giliran kami pula ke rumah mereka. Setiap kali raya, juadah yang paling saya nantikan ialah lemang, ketupat dan rendang ayam. Jika saya tidak sempat berkunjung, mereka akan bertanya selain turut menghantar makanan ke rumah," katanya.


Anak lelaki Selvaraju, S. Sivvaneshann, 26, mengakui membesar di Felda Chini,  membolehkan beliau merasai pengalaman sebagai 'anak kampung' yang dipenuhi dengan aktiviti berbasikal, memancing dan bermain bola sepak pada sebelah petang.


Beliau yang sedang belajar selok-belok menguruskan ladang berkata beliau tidak mempunyai masalah semasa bersekolah di Sekolah Kebangsaan Chini Timur 2 di sini, sebelum 'keluar' bagi melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas di Kuantan.


Sementara itu, Fatimah mengakui seronok berjiran dengan Raju yang tidak pernah berkira dan sangat mengambil berat dengan jiran menyebabkan semua generasi kedua di situ mengenali pasangan itu sebagai 'uncle dan aunty'.


"Kami yang memasak bagi kenduri perkahwinan lima anak Raju untuk penduduk di sini. Orang di sini memanggil isteri Raju dengan gelaran Aci. Kami tidak segan untuk minta bantuan daripada mereka dan begitu juga sebaliknya," katanya.


SUMBER -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor