KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan
Ismail merakamkan penghargaan di atas usaha dan komitmen Jawatankuasa
Pengurusan Bencana Negeri Pahang dalam mengekang penyebaran pandemik
koronavirus (Covid-19) sehingga dapat dikawal seperti hari ini.
Menurutnya, jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak mampu menangani
Covid-19 dengan baik meskipun Pahang terletak bersebelahan negeri-negeri
berisiko seperti Selangor, Johor, Perak dan lain-lain yang mempunyai statistik
kes tinggi.
Beliau berkata, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri
terdiri daripada pelbagai jabatan serta agensi berkaitan dalam mengekang
penularan wabak pandemik Covid-19 di negeri itu.
"Meskipun Pahang bersempadan dengan beberapa negeri dan
ada antaranya mencatatkan jumlah kes yang tinggi namun ia berjaya dikawal
dengan kecekapan pihak terlibat.
"Kita menduduki tempat keenam berbanding negeri lain.
Pahang bersempadan dengan Selangor, Johor, Perak, kalau kita tidak kawal, tidak
urus dengan baik saya percaya negeri ini akan berada di tempat ke dua atau
ketiga teratas," katanya.
Beliau dalam pada itu turut menzahirkan ucapan tahniah
khusus kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Menteri
Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor
Hisham Abdullah yang secara proaktif membendung penularan wabak itu di negara
ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis
Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur gemilang 2020 di Dewan Jubli Perak
Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Segmen khas Wira Negara turut ditonjolkan dengan membariskan
barisan hadapan negara seperti Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Angkatan
Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan tidak terkecuali kontraktor
pembersihan Alam Flora dan Pos Malaysia.
SUMBER : SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor