6 JULAI 2020: Kerajaan Negeri Pahang menerusi
Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sudah menyalurkan bantuan sewajarnya kepada
pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Falah, Batu Talam di Raub berikutan
bangunan sekolah berkenaan musnah dalam kebakaran awal pagi, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan
Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, JAIP
juga sudah menyerahkan 80 set peralatan seperti katil, tilam, selimut dan
almari untuk digunakan oleh pelajar sekolah berkenaan.
“Kerajaan Negeri Pahang sudah menjaga kebajikan pelajar
sejak dari awal termasuk meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiapkan laporan
status bangunan untuk pihak Kerajaan Negeri membuat tindakan selanjutnya,”
katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) di sini hari
ini.
Kejadian jam 4.19 pagi itu membabitkan dua bilik asrama
lelaki, bilik simpanan dokumen, stor dan tandas.
Bagaimanapun, kira-kira 50 pelajar tingkatan 4 dan 5 asrama
tersebut terselamat dalam kejadian itu dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada
jam 6 pagi oleh pihak bomba.
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim berkata, pihaknya akan
menyediakan tempat tinggal sementara untuk pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 2
di dewan utama sekolah berkenaan.
“Bagi tingkatan 4 dan tingkatan 5 kita sudah tempatkan
mereka di dewan makan. Sebab dewan makan ada dua, kita gunakan satu untuk
mereka,” katanya.
Sementara itu, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu
Pahang (MUIP) menyampaikan bantuan zakat keseluruhannya berjumlah RM15,000
kepada 50 pelajar yang terlibat berupa barangan keperluan persekolahan seperti
baju, pakaian sukan, kasut dan beg sekolah.
SUMBER – PAHANGMEDIA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor