PEKAN – Ahli Parlimen
Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak gembira melihat kecenderungan dan
sentimen rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dan calonnya yang amat positif.
Kata Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (DUN) Chini itu, banyak faktor penyumbang antaranya seperti
penolakan terhadap calon Bebas serta rekod perkhidmatan yang baik dari BN.
“Alhamdulillah saya lihat bahawa ‘mood’ dan sentimen amat
positif ke arah BN, calon kita Mohd Sharim banyak faktor yang memihak kepada
kita antaranya sudah tentu tahap keyakinan mereka kepada calon bebas amat
rendah.
“Kedua, dari segi rekod perkhidmatan kita, sejarah pembelaan
rakyat memang tidak boleh banding (Bebas) dengan BN,” katanya kepada media
sebaik selesai Majlis Pelancaran dan Penyerahan Borang Ibu Tunggal DUN Chini di
Dewan Semai Bakti Chini 5, di sini, hari ini.
Begitu juga katanya, BN menampilkan calon yang mewakili
kumpulan majoriti pengundi di DUN Chini.
“Kita ada seorang calon mewakili generasi kedua dan pilihan
raya ini lebih kurang 56 peratus terdiri daripada 40 hingga 21 tahun, belia.
“Jadi ini merupakan satu faktor yang besar yang mana calon
kita boleh dianggap sebagai mewakili kumpulan ini,” tambah Perdana Menteri
Keenam itu.
PRK DUN Chini ini BN menampilkan Mohd Sharim Md Zain, 41,
generasi kedua Felda Chini 3 yang merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang
dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan serta pernah dinobatkan
sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan.
Mohd Sharim yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan
dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat akan dicabar dua lagi calon
Bebas.
Pagi tadi, BN meneruskan siri kempennya ke perkampungan
masyarakat Orang Asli di Kampung Bendaling dan Kampung Tasik Mentiga, di sini.
Berhubung dengan wujud desakan supaya diadakan pilihan raya
umum (PRU) dengan lebih awal demi kestabilan politik negara, Najib berkata ia
merupakan satu jalan penyelesaian yang tuntas tetapi hendaklah pada masa yang
sesuai.
“Saya nampak penyelesaian mesti ke arah PRU cuma bila yang
sesuai. Tapi pokok pangkalnya ia tidak boleh lari daripada mendapat mandat dari
rakyat sebab kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen mesti berasaskan
kepada sokongan rakyat dan rakyat memilih wakil-wakil ahli Parlimen yang boleh
membawa kepada kerajaan yang kukuh dan stabil.
“Kalau kita merasakan pilihan raya itu menelan belanja yang
besar, ada sebut angka RM600 juta, RM700 juta tapi kalau kita tidak mempunyai
kerajaan yang kukuh dan stabil, kesannya lagi buruk kalau nak diukur dari segi
nilai ekonomi, jauh lebih besar dari angka kos pilihan raya.
“Misalnya kalau tidak ada pelabur, bursa saham jatuh, perlu
buat pinjaman tambahan dan sebagainya ini menyebabkan ekonomi kita kian
merudum. Tentu sekali lebih besar kesannya daripada membuat pilihan raya,”
tambahnya.
SUMBER – UMNO ONLINE
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor