PEKAN -- Kira-kira 38,600 atau 89.6 peratus daripada
43,126 peneroka di Pahang sudah menerima surat hakmilik tanah melibatkan
kawasan seluas 182,000 hektar, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan
Ismail.
Beliau berkata, berdasarkan harga semasa tanah, kerajaan
negeri telah ‘mengorbankan' tanah yang dianggarkan bernilai lebih RM40 bilion
untuk pemberian surat hakmilik tanah itu bagi memastikan peneroka menikmati
kehidupan yang lebih baik dan selesa di Pahang.
"Sehubungan itu, saya mengingatkan para peneroka supaya
dapat menjaga tanah ini dengan baik dan tidak sesekali memajak atau menjualnya
selepas menerima surat hakmilik.
"Ini kerana tujuan asal kerajaan negeri dan kerajaan
Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) mewujudkan Felda adalah untuk
pembangunan tanah dan membela masyarakat orang Melayu khususnya di luar
bandar," katanya.
Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap pada Majlis
Penyerahan Surat Hakmilik Peneroka Rancangan Tanah Felda Chini Timur 1 kepada
156 peneroka di Dewan Semai Bakti Chini Timur 3 di sini, hari ini, yang turut
dihadiri Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Felda
Datuk Seri Idris Jusoh.
Sementara itu, seorang penerima Suahilai Md Tai, 65,
menyifatkan pemberian surat hakmilik tanah itu sebagai 'kemenangan' terhadap
perit jerih beliau selama 30 tahun membuka hutan untuk dijadikan kawasan
pertanian.
"Saya mula menjadi peneroka pada tahun 1985 dan selepas
sekian lama, akhirnya saya dapat juga merasa memegang geran tanah sendiri. Ini
adalah harta peninggalan untuk anak cucu supaya mereka ada kampung halaman
untuk berkumpul pada masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Juaitar Abd Manaf, 62, sebak apabila
terkenang rakan peneroka yang tidak sempat merasai nikmat memiliki surat hak
milik itu selepas bersusah payah membuka tanah rancangan itu tanpa peralatan
moden.
"Saya mengikut suami ke sini dan selepas sekian lama,
hari ini saya teringat kembali betapa sukarnya kehidupan semasa itu. Hendak
mendapat wang RM100 pun sangat sukar tapi berkat kesabaran, pendapatan pada
masa ini sudah semakin baik dan stabil.
"Anak juga membesar dengan wang hasil Felda. Walaupun
tidak mewah, kehidupan kami masih baik kerana mempunyai rumah yang selesa dalam
kawasan yang terjaga dan kebajikan peneroka sentiasa diberi perhatian,"
katanya.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor