Pages

Monday, May 18, 2020

PASTIKAN KESEJAHTERAAN, KESELAMATAN RAKYAT TERJAMIN, TITAH AL-SULTAN ABDULLAH




KUALA LUMPUR, 18 Mei – Tatkala negara masih lagi berjuang memerangi wabak COVID-19 dan impaknya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah fokus utama kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat terlebih dahulu sentiasa terjamin dan terbela.


Seri Paduka bertitah ini termasuk dengan melaksanakan perintah kawalan pergerakan dan membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di luar negara.


Al-Sultan Abdullah yakin dalam berhadapan dengan wabak ini kerajaan akan terus berusaha meminimumkan kesan buruk terhadap rakyat dan negara.


“Sesungguhnya, negara kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, yang terbaru penularan wabak COVID-19. Semua cabaran ini telah memberi kesan kepada Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka.


“Kedatangan wabak COVID-19 yang melanda dunia dan negara telah turut memberi kesan pada ekonomi serta kesihatan dan kehidupan rakyat jelata. Belum pernah negara berhadapan dengan wabak yang sebegini serius sebelum ini,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen hari ini,


Menyempurnakan istiadat pembukaan persidangan Parlimen yang diadakan dalam suasana agak berbeza daripada norma dan kelazimannya dengan keutamaan penjarakan sosial ekoran wabak COVID-19, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa perkara sama akan berlaku dalam bidang pendidikan di era pascaCOVID-19.


Dalam Titah Diraja itu, Seri Paduka bertitah pelaburan dalam penyelidikan perlu ditingkatkan termasuk pembangunan dan inovasi agar dapat menyediakan modal insan yang diperlukan khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.


“Beta juga amat menyokong pemerkasaan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET untuk mempersiapkan golongan belia menghadapi cabaran baharu alam pekerjaan,” titah Seri Paduka.


Dalam titah kira-kira 30 minit, Seri Paduka turut menyentuh isu pelancongan negara yang disebabkan wabak berkenaan, Tahun Melawat Malaysia 2020 terpaksa dibatalkan


“Usaha-usaha bagi memulihkan sektor pelancongan negara hendaklah diteruskan. Pada masa sama, pemain industri pelancongan hendaklah berusaha memperkukuhkan produk dan pakej pelancongan serta menjaga infrastruktur sedia ada bagi mengembalikan semula kecemerlangan sektor pelancongan negara.”


Menyentuh isu kebajikan rakyat melibatkan kanak-kanak, wanita, warga emas, orang kurang upaya dan golongan yang memerlukan, selain isu infrastruktur asas, pemilikan rumah, kos sara hidup dan pertanian, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa ia akan terus diberi perhatian kerajaan.


“Kerajaan beta turut beriltizam untuk terus meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan yang saksama kepada rakyat.


“Perkhidmatan kesihatan akan diperkasa dengan menjurus kepada pencegahan dan perawatan secara holistik termasuk kepada masyarakat luar bandar, Orang Asli serta peribumi di Sabah dan Sarawak,” titah Seri Paduka.


Yang di-Pertuan Agong turut menyeru supaya Malaysia terus komited dalam usaha mengetengahkan isu alam sekitar dan perubahan iklim dan terus melaksanakan pemerkasaan undang-undang alam sekitar, aktiviti penguatkuasaan dan kerjasama erat dengan semua pihak termasuk negara serantau.


Sebelum mengakhiri Titah Diraja, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan anggota Perkhidmatan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi kerajaan yang telah mencurahkan khidmat bakti dalam memajukan negara sehingga menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, makmur dan disegani


“Beta amat menghargai taat setia dan sumbangan ...beta juga menyeru agar amanah dan tanggungjawab yang dijunjung dalam berbakti kepada negara dan rakyat jelata hendaklah terus dilaksanakan dengan sebaiknya secara profesional dan neutral tanpa mengira kaum, agama mahupun kedudukan.


“Pada masa sama, beta menyeru rakyat jelata terus memberikan kerjasama kepada kerajaan beta bagi meneruskan kesinambungan usaha-usaha pembangunan negara,” titah Seri Paduka.



SUMBER -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor