KUALA LUMPUR – Pengumuman oleh kerajaan Malaysia baru-baru
ini untuk melonggarkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh
negara mendapat perhatian Energesse, penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan
antarabangsa yang beribu pejabat di Australia.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Dr Avnesh Ratnanesan
mengingatkan bahawa gelombang kedua COVID-19 mungkin berlaku dan ternyata lebih
mencabar dan menganggu corak perniagaan dan sosial dengan kelonggaran PKP di
seluruh negara.
“Pendekatan yang longgar juga akan memberi kesan kepada
petugas penjagaan kesihatan dan sistem kesihatan, yang kebanyakannya telah
menghadapi tekanan sejak lapan minggu yang lepas dengan PKP,” kata Dr Avnesh,
seorang warganegara Malaysia dan penduduk tetap Australia, kepada Bernama.
Dr Avnesh menyediakan kaedah dan khidmat nasihat kepada
perkhidmatan kesihatan Australia mengenai pengurusan pandemik ini dengan lebih
berkesan.
Beliau menjelaskan dengan langkah kerajaan untuk membenarkan
kembali bekerja mulai 4 Mei, tahap pengurangan yang dilakukan adalah terlalu
cepat berikutan negara lain kini bergelut dengan gelombang kedua disebabkan
kerajaan berpuas hati dengan menganggap bahawa mereka dapat mengendalikan
dengan baik gelombang yang pertama.
“Sebahagian syarikat dapat mengekalkan produktiviti dengan
bekerja dari rumah dan ini perlu terus digalakkan.
“Dalam banyak keadaan, ahli ekonomi dan ahli epidemiologi
ternyata bersetuju berdasarkan model berasaskan data bahawa pendekatan secara
berperingkat untuk mengurangkan sekatan adalah yang terbaik untuk perniagaan
dan kesihatan.
“Kerajaan di seluruh dunia bergantung kepada unjuran
matematik untuk membantu membuat keputusan dalam pandemik ini,” katanya.
Dr Avnesh mencadangkan kerajaan Malaysia untuk menggunakan
lebih banyak data, model dan malah algoritma berasaskan AI untuk memaklumkan
dan membantu membuat keputusan mereka, berbanding pendapat yang subjektif
daripada individu yang mungkin tidak memahami sepenuhnya kesukaran kesihatan
awam jangka pendek dan jangka panjang serta pemboleh ubah ekonomi yang
terlibat.
“Kami membangunkan peralatan digital dinamakan PMme
(Pandemic Management for me). PMme adalah alat sokongan keputusan dan audit
yang disesuaikan untuk Ketua Pegawai Eksekutif penjagaan kesihatan dan pengarah
di hospital dan perkhidmatan kesihatan.
“Ia membantu organisasi ini mengenal pasti jurang dan
kekuatan mereka terhadap amalan terbaik antarabangsa dalam aktiviti
kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik. Ia juga membantu mereka memantau dan
meningkatkan kemajuan mereka dari semasa ke semasa dalam menguruskan sumber
yang terhad dengan berkesan.
“Kerajaan perlu mengimbangi campur tangan jangka pendek PKP
dan impak jangka sederhana yang timbul dari tempoh kuarantin selama lebih lapan
minggu,” katanya.
Dr Avnesh turut mencadangkan pengenalan ’Health Hour’ kepada
individu yang digalakkan untuk meninggalkan rumah mereka selama satu jam sehari
dan dalam jarak satu kilometer dari rumah mereka untuk berjoging atau bersukan
dalam amalan penjarakan sosial yang ditetapkan.
“Ini berfungsi sebagai penambahbaikan kepada dasar untuk
meningkatkan pemikiran kesihatan yang menyeluruh dan menyokong pembangunan
imuniti,” katanya.
SUMBER — BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor