KUANTAN - Lebih 50 peratus bekas banduan di dua penjara di
negeri ini diterima bekerja dengan syarikat swasta dalam pelbagai sektor.
Pengarah Jabatan Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad
berkata, penerimaan peluang pekerjaan itu dinikmati bekas banduan menerusi
Program Penempatan Semula Banduan (PSB) yang dilaksanakan sejak tahun lalu.
"Tahun lalu lebih 40 bekas banduan diterima bekerja
dengan beberapa syarikat swasta dalam pelbagai sektor di Pahang termasuk
beberapa negeri lain.
"Jadi ini sudah cukup membuktikan bekas banduan juga
memiliki masa depan sekaligus dapat membantu mereka membina kehidupan baru
dengan pendapatan tetap secara berterusan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan sembilan
bekas banduan Penjara Penor kepada empat syarikat pembersihan yang turut
dihadiri Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hasan Hussain hari ini
Menurutnya, menerusi program itu diharapkan lebih banyak
syarikat di Pahang tampil menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas banduan.
"Setakat ini terdapat kira-kira 6,000 banduan menghuni
Penjara Penor dan Penjara Bentong termasuk Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem
Batu 10 yang terlibat dengan pelbagai kesalahan dan menjalani hukuman penjara
serta sebatan," katanya.
Ab Basir berkata, kajian yang dilakukan pihaknya mendapati
peratus bekas banduan kes dadah kembali menjadi menagih lebih tinggi apabila
mereka pulang kampung selepas dibebaskan.
"Dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas bertemu
rakan lama pasti mereka akan kembali menagih. Jadi, bagi mengelak kesalahan
berulang, kita harap lebih banyak syarikat tampil terima bekas banduan sebagai
kakitangan mereka.
"Mereka ini (bekas banduan) mempunyai kemahiran
tertentu menerusi pelbagai latihan yang diberikan seperti kimpalan, memotong
rumput, pertanian, ternakan dan mengendalikan jengkaut yang dipelajari
sepanjang menjalani hukuman.
"Malah ada segelintir banduan memiliki Sijil Kemahiran
Malaysia (SKM) dan kemahiran mereka meletakkan golongan berkenaan sebagai
tenaga mahir dan separuh mahir," katanya.
SUMBER: SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor