KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan
berakhir 28 April ini dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 12 Mei,
kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri ketika mengumumkan keputusan kerajaan itu
berkata bagaimanapun jika kes COVID-19 terus mencatat penurunan ketara,
kerajaan mungkin memberi kelonggaran secara berperingkat-peringkat.
“Berdasarkan statistik terkini, jumlah pesakit sembuh telah
meningkat kepada 3,542 kes iaitu 63.2 peratus keseluruhan pesakit telah sembuh.
“Sekiranya trend penurunan kes berterusan, kerajaan mungkin
memberi sedikit kelonggaran,” kata Perdana Menteri pada perutusan yang disiar
secara langsung melalui televisyen tempatan malam ini.
Ini merupakan kali ketiga PKP yang mula dilaksana pada 18
Mac dilanjutkan dalam usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak
COVID-19 di Malaysia.
Muhyiddin berkata berikutan penurunan kes COVID-19 yang
ketara, kerajaan akan memberi sedikit kelonggaran termasuk membenarkan penuntut
di kampus universiti untuk pulang ke rumah masing-masing dalam sedikit masa
lagi dan satu prosedur operasi standard (SOP) untuk tujuan itu akan diumumkan
dalam masa terdekat.
“Jumlah pelajar yang terlibat adalah besar, iaitu hampir
100,000 orang. Jadi kita mesti rancang pergerakan mereka dengan teliti untuk
pastikan ia teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan,” katanya.
Sebelum dibenarkan pulang, katanya, semua pelajar tersebut
akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala COVID-19.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga mempertimbang
kebenaran satu kali perjalanan bagi mereka yang terperangkap di kampung atau
tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan PKP fasa satu.
Untuk itu, Muhyiddin berkata kerajaan sedang mengumpul data
dan mengkaji kaedah terbaik bagi mengatur pergerakan mereka termasuk
pendaftaran secara dalam talian melalui aplikasi Polis Diraja Malaysia (PDRM)
atau membuat temu janji ke balai polis bagi tujuan membuat pendaftaran.
Adalah penting untuk pihak polis mengatur perjalanan
saudara-saudari supaya tidak berlaku kesesakan di jalan raya atau di
hentian-hentian di lebuh raya. Anda juga perlu pastikan anda sihat dan tidak
mempunyai apa-apa gejala sebelum memulakan perjalanan,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata butirian mengenai perkara tersebut akan
diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.
“Ini adalah sedikit kelonggaran yang diberikan setakat ini.
Saya ulang sekali lagi, SEDIKIT kelonggaran. Bukan terlalu longgar. Pelaksanaan
kedua-dua langkah ini juga akan dipastikan teratur dan tidak menjejaskan usaha
kita memerangi COVID-19,” katanya.
Beliau berkata usaha-usaha untuk membendung wabak COVID-19
masih perlu diteruskan berdasarkan data-data yang dibentangkan kepadanya oleh
Kementerian Kesihatan.
“Walaupun angka-angka menunjukkan perkembangan positif,
langkah-langkah yang kita ambil hendaklah diteruskan sampai ke satu masa di
mana kita yakin wabak COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya,” katanya.
Muhyiddin berkata kerajaan akan menilai data-data terkini
yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan untuk menentukan langkah seterusnya.
“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan
lagi selepas ini. Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut
Hari Raya di kampung.
“Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi
mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum
boleh dibuka sepenuhnya,” katanya.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, jika kes-kes COVID-19
terus mencatatkan penurunan yang ketara, kerajaan berkemungkinan akan
melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk
sektor sosial.
Beliau berkata ini membolehkan mereka menjalani kehidupan
yang lebih selesa dan menambah kata Majlis Keselamatan Negara sedang merangka
satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara tersebut.
SUMBER – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor