KUANTAN, 8 April -- Kerajaan negeri Pahang hari ini
mengumumkan sembilan inisiatif baharu bernilai RM2.15 juta bagi membantu 34,376
penerima yang terkesan sumber pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP).
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata
inisiatif fasa tiga itu merupakan
tambahan kepada 13 inisiatif berjumlah RM19.24 juta yang diumumkan sebelum ini
secara berperingkat pada 23 dan 30 Mac lepas.
Inisiatif baharu itu antaranya melibatkan sumbangan 1,500
kampit beras setiap satu kepada semua pemimpin masyarakat di 14 kawasan
Perlimen seluruh Pahang untuk diagihkan kepada 21,000 penerima, dengan
keseluruhan sumbangan bernilai RM304,500.
"Sumbangan wang tunai RM100 dan barangan keperluan
bernilai RM50 akan diberikan kepada 426 orang pemandu pelancong dan pemandu bot
pelancong di Taman Negara serta kepada 62 buah Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung Baharu (JKKKB) melibatkan 3,100 orang penerima.
"Sumbangan sama juga diberikan kepada 70 buah
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda seluruh Pahang
melibatkan 3,500 penerima," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari
ini.
Wan Rosdy berkata usahawan mikro 'e-hailing' khususnya di
Kuantan yang terjejas teruk dengan pelaksanaan PKP akan menerima bantuan dengan
jumlah keseluruhan sebanyak RM30,000 selain bantuan RM150 diberikan kepada 650
anak Pahang yang menetap di kampus tempat mereka belajar ekoran PKP.
Selain itu, barangan keperluan bernilai RM50 diberikan
kepada 3,500 ketua isi rumah (KIR) menerusi Program Ziarah Prihatin kepada
mereka yang menjalani proses kurantin di rumah bagi kategori pesakit di bawah
pemantauan (PUI).
"Sumbangan barangan keperluan bernilai RM200 pula
diberikan kepada KIR bagi kawasan yang
diperketatkan kawalan pergerakan dan sukar mendapat bekalan makanan dengan
jumlah terlibat dipuratakan 200 KIR bagi setiap daerah.
"Bantuan pengurusan sebanyak RM5,000 diagihkan kepada
11 Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah bagi menguruskan pembekalan dan
pengagihan barangan keperluan kepada KIR yang terlibat," katanya.
Pada perkembangan lain, Wan Rosdy mengumumkan bayaran
pendahuluan sebanyak RM500 daripada bayaran khas RM1,000 secara 'one-off' yang diumumkan pada Belanjawan Negeri 2020
akan mula dilaksanakan secara berperingkat pada Khamis ini, melibatkan 1,027
imam kariah di seluruh Pahang.
Menteri Besar
berharap semua inisiatif yang diberikan dapat membantu rakyat Pahang
daripada pelbagai latar belakang yang terjejas sumber pendapatan akibat PKP
yang perlu dilaksanakan bagi membendung penularan wabak COVID-19.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor