Pages

Thursday, April 23, 2020

KADAR ZAKAT FITRAH DI PAHANG KEKAL RM7 BAYARAN SECARA DALAM TALIAN DAN APLIKASI DIGITAL




KUANTAN, 23 April -- Kadar bayaran zakat fitrah di Pahang bagi tahun ini ditetapkan sebanyak RM7 dengan kaedah pembayaran secara dalam talian atau online dan aplikasi digital ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.


Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata Sultan Pahang iaitu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Ketua Agama Islam negeri telah memperkenankan kadar bayaran itu.


Untuk rekod, kadar bayaran RM7 kekal bagi tempoh 12 tahun berturut-turut sejak MUIP mengumumkan kadar tersebut kali pertama pada tahun 2009.


"Mengambil kira pematuhan kepada PKP bagi memutuskan rantaian COVID-19, kaedah bayaran melalui amil zakat fitrah tidak disediakan dan bayaran boleh dilakukan secara online di laman web ezakat.muip.gov.my.


"Selain itu, bayaran juga diterima melalui aplikasi digital PahangGo atau SnapNPay yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.


Ahmad Hairi berkata mereka yang tidak mempunyai kemudahan internet boleh memilih kaedah bayaran melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke Zakat Fitrah Pahang di 15888 untuk MUIP mendahulukan bayaran dengan pembayar membuat bayaran semula selepas tamat tempoh PKP.


Kaedah itu, bagaimanapun hanya terpakai kepada mereka yang tidak mempunyai anak dan saudara mara yang boleh membantu atau tiada wakil untuk membayar zakat fitrah secara dalam talian bagi pihak mereka.


"Keharusan menggunakan kaedah bayaran melalui SMS adalah berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang. Bagaimanapun, kaedah ini tidak lagi terpakai jika PKP tamat dalam tempoh Ramadan dan khidmat amil zakat fitrah disediakan," katanya.


Ahmad Hairi juga mengingatkan bahawa mereka yang memungut zakat fitrah tanpa dilantik MUIP boleh didakwa di bawah Seksyen 38, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  

 SUMBER: -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor