KANGAR, 13 Mac -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra
Jamalullail bertitah solat Jumaat di seluruh negeri ini hari ini digantikan
dengan solat Zohor di rumah masing-masing.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail,
yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
(MAIPs), bertitah perintah Raja Perlis itu setelah mendapat pandangan dan
nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkembangan
COVID-19, serta menerima panduan dan irshad daripada Jawatakuasa Fatwa Negeri
Perlis.
“Bagi menjunjung titah perintah dan perkenan DYMM Raja
Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
dengan ini memutuskan agar Solat Jumaat di seluruh Negeri Perlis pada tarikh 13
Mac 2020 digantikan dengan Solat Zohor di rumah masing-masing,” titah baginda
dalam satu kenyataan MAIPs, hari ini.
Baginda bertitah hal ini adalah rentetan daripada
perkembangan terbaharu seperti yang telah dimaklumkan oleh KKM agar sebarang
perhimpunan berskala besar termasuk aktiviti agama hendaklah dielakkan.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah pihak pengurusan masjid di
seluruh Perlis hendaklah mengelakkan daripada melaksanakan sebarang perhimpunan
awam berskala besar buat masa ini.
Baginda menasihati individu Muslim sentiasa mengambil
langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.
SUMBER -- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor