KUANTAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang
yang dijadual bermula 13 April ini akan ditangguhkan ke tarikh baharu yang akan
ditentukan kelak.
Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad berkata,
penangguhan itu selari dengan keputusan kerajaan Persekutuan melanjutkan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.
"Jika perintah itu dilanjutkan lagi, berkemungkinan
sidang DUN akan diadakan pada bulan seterusnya kerana kita mempunyai tempoh
sehingga akhir Mei untuk bersidang.
"Sekiranya keadaan masih tidak mengizinkan, kita akan
mencari alternatif lain seperti bersidang dalam tempoh masa minimum bagi
memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang," katanya semasa
dihubungi di sini pemberita hari ini.
Ishak berkata, berdasarkan jadual, persidangan akan
berlangsung lima hari dengan Pemangku Raja Pahang,Tengku Hassanal Ibrahim Alam
Shah Al-Sultan Abdullah berkenan merasmikan istiadat pembukaannya.
PKP mula berkuat kuasa 18 Mac lalu bagi membendung penularan
koronavirus (Covid-19) dan semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengumumkan perintah yang dijadualkan tamat pada 31 Mac dilanjutkan sehingga 14
April ini.
Dalam perkembangan berasingan, Pengarah Pejabat Kementerian
Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Pahang, Datuk Idros Yahya berkata,
pihaknya menerima sumbangan bilik percuma daripada sebuah hotel di sini untuk
dijadikan penginapan petugas barisan hadapan sepanjang pelaksanaan perintah
itu.
"Pihak hotel memberikan 35 bilik secara percuma kepada
petugas barisan hadapan dan kami berharap lebih ramai pengusaha hotel tampil
untuk membantu kerana ada antara petugas ini datang dari luar Kuantan,"
katanya.
SUMBER - Bernama
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor