KUALA LUMPUR, 26 Mac – Sebanyak 393 kes penipuan membabitkan
penjualan penutup mulut dan hidung dilaporkan kepada polis di seluruh negara
dalam tempoh Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) setakat ini dengan jumlah
kerugian kira-kira RM1.1 juta.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata
pihaknya memandang serius aktiviti penipuan itu dan setakat ini, 26 individu
ditahan dengan beberapa orang telah dituduh di mahkamah.
“Ini satu penyakit, masih ada yang mengambil kesempatan
untuk menipu masyarakat dalam situasi (wabak COVID-19) ini …pihak polis sedang
menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya ketika menjadi tetamu
rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 hari ini.
Sementara itu, Mazlan berkata 94 kertas siasatan dibuka
berhubung penyebaran berita palsu berkaitan wabak COVID-19 di seluruh negara.
“Ada enam kes telah dituduh di mahkamah manakala bakinya
masih dalam siasatan. Polis menasihatkan orang ramai agar menggunakan media
sosial dengan berhemah.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang
menyebarkan berita palsu berhubung apa jua yang berlaku di negara ini,”
katanya.
Mengulas lanjutan tempoh PKP sehingga 14 April ini, Mazlan
berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersiap sedia untuk melaksanakan
perintah itu demi memastikan rantaian wabak COVID-19 dapat diputuskan.
“Polis ada strategi tertentu dan saya harap masyarkat
mematuhi peraturan yang digariskan dalam tempoh pelaksanaan PKP. Tindakan
undang-undang (akan diambil) sekiranya gagal atau ingkar arahan,” katanya.
SUMBER – BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor