Agong harus melantik seorang perdana menteri dalam kalangan
ahli Dewan Rakyat seperti yang ditetapkan Perlembagaan, kata hakim bersara,
Gopal Sri Ram hari ini, beberapa jam selepas Dr Mahathir Mohamad menyerahkan
surat peletakan jawatan kepada Agong.
“Pelantikan itu atas budi bicara Agong dan tidak boleh
dicabar di mahkamah,” tambahnya.
Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong
hendaklah melantik sebagai perdana menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada
hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti wakil rakyat.
Sri Ram berkata perdana menteri kemudian akan menubuhkan
Kabinet untuk menjalankan pentadbirannya.
“Seelok-eloknya, perdana menteri ke Dewan Rakyat secepat
mungkin dan mengadakan undi percaya.
“Jika beliau menang undi percaya, dia kekal berkhidmat
bersama ahli Kabinetnya.”
Bagaimanapun, jika beliau kalah undi percaya, Sri Ram
berkata perdana menteri akan menghadap Agong untuk melapor hasilnya.
“Perdana menteri boleh minta Agong membubarkan Dewan Rakyat
untuk pilihan raya baru diadakan.
“Jika Agong tolak permintaan itu, perdana menteri terpaksa
meletak jawatan untuk Agong melantik ahli Parlimen lain sebagai perdana
menteri.”
Sekarang terdapat 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Peguam Bastian Pius Vendargon berkata sekarang tiada
kerajaan kerana Kabinet tidak lagi wujud susulan peletakan jawatan Mahathir.
“Jawatan timbalan perdana menteri tidak diperuntukkan dalam
Perlembagaan. Oleh itu, beliau tidak boleh memangku peranan perdana menteri
sementara,” katanya.
SUMBER : fmt
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor