KUALA LUMPUR 21 Ogos - Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir
Mohamad perlu membuat keputusan yang berhikmah dalam isu Dr. Zakir Naik dengan
mengambil kira kepentingan nasional dan hak asasi pendakwah antarabangsa itu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui
Perdana Menteri berada dalam keadaan sukar, namun apa juga keputusan harus
mengimbangi antara kepentingan nasional dan hak asasi Zakir.
"Yang pasti, kita mengharapkan keputusan berhikmah dari
beliau (Perdana Menteri)," katanya melalui hantaran di Facebook malam
tadi.
Mohamad berkata, kekuatan sebenar Malaysia ialah
kemajmukannya. Kehidupan harmoni pelbagai kaum dan agama, telah menjadi
karakter utama negara ini. Lalu sesiapa jua yang cuba mengugat keharmonian ini,
wajar bertangungjawab atas tindakan mereka.
'Jika benar apa yang diucapkan oleh Zakir Naik di Kota Bharu
itu, bersifat menghasut dan boleh mengancam kehidupan rukun damai masyarakat
Malaysia, maka beliau harus bertanggungjawab dan menghadapi proses
undang-undang.
"Kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin dalam
Perlembagaan. Tetapi ia bukan mutlak. Tiada siapa jua, walau seorang ulama
besar mahupun negarawan, mempunyai kebebasan untuk memperlekehkan status,
kedudukan dan kewarganegaraan kaum tertentu di Malaysia.
"Kepada Zakir Naik, anda telah dilayan dengan terhormat
di negara ini. Dan anda seorang pendakwah yang terkemuka. Maka adalah
tanggungjawab anda untuk berlaku bijaksana dan menujukkan teladan bahawa Islam
itu adalah kebaikan untuk semua.
J"ika anda tidak berupaya melakukan itu, maka anda
tidak boleh menyalahkan Kerajaan Malaysia jika ia bertindak keatas
saudara," katanya.
Namun tindakan mengusir Zakir katanya, haruslah
dipertimbangkan sebaik-baiknya.
"Tun Mahathir berhadapan dengan keadaan yang sukar.
"Tidak mengusir beliau akan dilihat sebagai penerimaan
kata-kata beliau yang menyinggung perasaan, malah tidak menghormati kaum-kaum
tertentu di Malaysia. Namun begitu, jika dihantar pulang, nyawa dan hak asasi
beliau akan terancam, maka kita mesti bertindak rasional," kata Mohamad.
Katanya, walaupun tidak bersetuju dengan pendapat Zakir Naik
dalam isu tertentu, keadilan hanya akan dapat dicapai jika kita mendapat
jaminan bahawa hak asasi beliau dihormati, jika beliau diusir.
"Jika diyakini bahawa hak asasi itu akan dikompromi,
maka Malaysia bertanggungjawab untuk bertindak dengan bijaksana berdasarkan
amalan terbaik perundangan antarabangsa," katanya.
SUMBER -UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor