TUAN IBRAHIM TUAN MAN
SEKIRANYA isu pertarungan kedudukan kuasa dalam kalangan PH
masih berterusan, maka ia akan mensabotaj agenda Kemakmuran Bersama yang
diinisiatif oleh YAB Perdana Menteri. Mutakhir ini negara tidak stabil apabila
masalah dalaman parti terbesar komponen PH menjadi subjek dominan politik
Malaysia. Tambahan pula, terdapat desas desus pertukaran Menteri Besar Selangor
yang akan dilakukan dalam masa terdekat.
Bagaimana negara akan terus maju dan membangun sekiranya
parti pemerintah sendiri berkecamuk untuk menguruskan masalah dalamannya? Saya
beranggapan agenda Kemakmuran Bersama adalah penting dan mesti didokong dengan
bersungguh-sungguh. Setelah setahun PH gagal memerintah negara, ini adalah
peluang yang terbaik untuk membuktikan mereka mampu menggalas amanah yang
diberikan rakyat.
Oleh itu, saya meminta semua parti politik meletakkan
prioriti yang betul dan utama untuk membantu YAB Perdana Menteri mentadbir
negara hingga pembubaran Parlimen atau akhir penggal tanpa disibukkan dengan
isu lain. Perkara ini lebih penting supaya semua pihak terutama sektor swasta
kembali yakin dengan kestabilan politik negara. PAS dan Umno terutamanya
bersedia menjadi pembangkang yang konstruktif untuk bersama-sama membangunkan
negara.
Hal ini selaras dengan titah Yang Di-Pertuan Agong kelmarin
yang mahu kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
meneruskan usaha menyusun semula rancangan pembangunan negara, meningkatkan
prestasi urus tadbir, memerangi rasuah dan mempertahankan keluhuran
undang-undang. Jika PH masih terus bercakaran dan bertarung untuk kedudukan
kuasa, sudah pasti ia akan merencatkan agenda ke arah negara maju 2030.
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Kubang Kerian
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor