KUALA LUMPUR, – Keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH)
untuk memperbaharui lesen Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) membuktikan
bahawa tindakan Barisan Nasional (BN) sebelum ini adalah tepat, berasas dan
dipimpin oleh pertimbangan yang betul, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri
Mohamed Khaled Nordin.
Namun, katanya, individu seperti Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, YB Fuziah Salleh masih terus-menerus menjadi pakar sains dan
menggunakan isu ini untuk berpolitik tanpa merujuk dan mempertimbangkan
pelbagai dapatan sahih yang telah dikemukakan oleh mereka yang benar-benar
pakar dalam bidang ini.
“YB Fuziah menyuarakan pendapat bahawa LAMP membawa lebih
kesan sampingan negatif daripada kebaikan yang antara aspek dibangkitkan adalah
isu kesihatan, ekosistem, peluang pekerjaan serta hubungannya dengan pinjaman
wang dari Jepun.
“Dalam banyak keadaan, kenyataan yang dikeluarkan lebih
bersifat politik berbanding pembentangan data sains,” kata beliau dalam
kenyataan media hari ini.
Dalam hal ini, beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa
Khas Parlimen berkenaan Lynas pada tahun 2012 terpanggil dan berasa
bertanggungjawab menjelaskan beberapa perkara.
Perkara tersebut ialah:
Pertama, Lynas diluluskan bukan kerana Malaysia berhutang
atau bercadang untuk berhutang dengan Jepun.
YB Fuziah sama sekali tersasar. Kenyataan sedemikian tidak
tepat dan sangat berniat jahat. Keputusan untuk membenarkan Lynas beroperasi di
negara kita dibuat berpandukan kelebihan yang ada dalam sektor yang melibatkan
bahan nadir bumi (rare earth element). Ia mempunyai sifat bahan yang unik dan
digunakan dalam pelbagai aplikasi dan alat, selain membangunkan industri
seperti elektronik dan tenaga diperbaharui.
Kedua, Lynas diluluskan atas pertimbangan saintifik dan
perindustrian dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar.
Perkara ini dijelaskan dalam dapatan Jawatankuasa Pilihan
Khas dan pemegang taruh mengenai Projek LAMP yang dibentangkan semasa Dewan
Rakyat Parlimen Ke-12 (Penggal Ke-5, Mesyuarat Ke-2) pada 19 Jun 2012 (Laporan
Jawatankuasa Khas). Pihak Jawatankuasa Pilihan Khas juga mencadangkan standard
kepatuhan berdasarkan amalan terbaik antarabangsa daripada kumpulan pakar demi
memastikan kepentingan awam dan kelestarian alam sekitar diutamakan.
Maklum balas yang diberikan adalah berdasarkan dapatan
saintifik, rujukan kepada beberapa pakar antarabangsa, lawatan ke tapak LAMP di
Gebeng dan sesi pendengaran awam (ms 27-28 Laporan Jawatankuasa Khas).
Ketiga, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan peraturan
yang lebih ketat standardnya berbanding peringkat antarabangsa.
Jawatankuasa pada masa itu dimaklumkan bahawa kadar anggaran
pendedahan torium di projek LAMP adalah tidak signifikan (ms 32 Laporan
Jawatankuasa Khas).
Keempat, Projek LAMP adalah projek pemprosesan bahan
berasaskan kimia dan bukannya sebuah loji berasaskan nuklear atau sesuatu
seumpamanya.
Ini adalah kekeliruan paling besar. Saya tidak pelik kerana,
individu seperti YB Fuziah sendiri sentiasa memilih untuk bersifat pukul rata
dalam memburukkan projek LAMP.
Sedangkan dalam projek ini, pendedahan kepada sinaran
radioaktif adalah sangat kecil dan tidak membahayakan. Dapatan saintifik
membuktikan bahawa pendedahan sinaran dari bahan mentah dan sisa buangan projek
LAMP adalah pada tahap yang dibenarkan dan terangkum dalam standard yang
dibenarkan seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di bawah PBB.
Kelima, wujud rujukan antarabangsa dan penubuhan
jawatankuasa yang bersesuaian.
Dalam kes ini, kepakaran IAEA telah dirujuk dalam mengkaji
aspek kesihatan dan keselamatan projek LAMP. Pada masa yang sama telah
ditubuhkan satu Panel Pakar Bebas Antarabangsa untuk memberi nasihat dan
dapatan mereka.
Sumber – UMNO Online
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor