Pages

Wednesday, August 28, 2019

[KUANTAN] BANTU PELAJAR KURANG KEMAMPUAN MELALUI HASIL PERTANIAN






Kerajaan negeri Pahang meluluskan tanah seluas kira-kira 330 hektar di Sungai Lembing di sini untuk diusahakan Pahang Skills Development Centre (Pahang Skills) dengan aktiviti pertanian.

Pengerusi Pahang Skills, Datuk Mas’ut Awang Samah berkata, hasil aktiviti pertanian itu akan digunakan untuk menaja kos pengajian pelajar mereka yang kurang berkemampuan.

“Kita memperoleh kelulusan pada tahun ini dan aktiviti pertanian dijangka boleh dimulakan tahun depan dengan tanaman dirancang ialah kelapa sawit.

“Pahang Skills mempunyai pangkalan data bagi mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan supaya mereka yang benar-benar memerlukannya tidak terlepas pandang,” katanya.

Mas’ut berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pengukuhan Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah di Pahang Skills di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Mohamad Fauzi Husin.

Pada program itu, Pengarah Eksekutif Pahang Skills, Suris Mihat mengetuai seramai 87 kakitangan Pahang Skills dan 500 pelajar melafazkan Ikrar Bebas Rasuah.

Mas’ut berkata, pihaknya merancang menganjurkan slot program dan ceramah melibatkan pegawai SPRM dalam usaha menerapkan integriti dan pencegahan rasuah kepada pelajar di situ.

Pada perkembangan lain, Mas’ut berkata, mereka menyasarkan kebolehpasaran graduan sebanyak 95 peratus pada tahun hadapan, berbanding 92 peratus pada masa kini.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor