Pages

Sunday, August 4, 2019

KENAL SIAPA KAWAN- SIAPA LAWAN : MB PAHANG






Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kecuali Pahang dan Perlis yang mengekalkan kemenangan dalam PRU-14 lalu menjadikan parti itu mengenali siapa kawan serta lawan sebenar ketika menang dan kalah.


“Jadi, itulah hikmahnya bila kita kalah, yang pertama sekali kita hendak kenal siapa kawan dan siapa lawan kita. Bila kita ada kuasa dan menang macam ini, tapi bila kalah macam ini.


“Tetapi rakan kita dari Parti Islam SeMalaysia (Pas) bila kita menang tidak bersama dengan kita, tetapi bila kita kalah mereka datang bantu kita.


“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak. Dan bantuan bermula di Cameron Highlands,” ujarnya seperti dipetik UMNO Online ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) semalam.


Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan Datuk Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan barisan kepimpinannya.


Tambah Wan Rosdy lagi, resipi kejayaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands lalu adalah kerana strategi diatur sesuai mengikut keadaan dan semasa, yang perlu diikut parti bagi menghadapi PRU-15 nanti.


“Andainya Pas meletakkan calon semasa PRK Cameron Highlands tempoh hari, yang menang bukan Pas, yang menang bukan UMNO tapi yang menang ialah DAP.


“Sebab apa? Sebab semasa PRU-14 kita cuma menang dalam empat ratus undi sahaja majoriti. Dan dengan keadaan sekarang mereka (Pakatan Harapan (PH)yang pegang agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), DAP yang akan menang,” tegasnya.


Justeru itu katanya, UMNO telah sedar strategi amat penting.


Jelas Wan Rosdy, kekalahan BN juga disebabkan rakyat ditipu dengan manifesto PH yang sehingga kini gagal dilaksanakan kecuali menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).


“Kekalahan BN tidak menjadikan negara semakin baik malah semakin teruk tambahan pula pemimpin-pemimpin PH sering mengeluarkan idea-idea yang mengarut dan tidak mampu memakmurkan ekonomi negara,” tegasnya. -


SUMBER:   UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor