Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik usaha pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas menahan reman individu-individu yang terbabit di dalam insiden tersebut selama tujuh hari agar siasatan lanjut dapat diadakan.
Tegas Exconya, Afif Farhi Othman, Pemuda UMNO Malaysia juga akan terus meneliti dan memantau perkembangan kes ini dari masa ke semasa yang kini disiasat di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh agar keadilan dapat ditegakkan.
“Kami juga berharap agar saksi kejadian dapat tampil segera memberikan kerjasama sepenuhnya serta berkongsi maklumat yang sebenarnya dengan pihak PDRM,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya juga Pemuda UMNO menzahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap insiden yang menimpa Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir yang terkorban di dalam pertelingkahan jalanan di KM 293.5 Lebuhraya Kuala Lumpur – Seremban semalam.
Allahyarham telah meninggalkan seorang balu dan anak yang baru berusia empat bulan.
“Ucapan takziah kami rakamkan buat seluruh ahli keluarga beliau dan berdoa semoga diberikan ketabahan di dalam mengharungi ujian ini,” ujarnya lagi.
Justeru itu, Pemuda UMNO Malaysia memohon kepada semua rakyat Malaysia agar bertenang serta tidak mengaitkan insiden ini dengan isu perkauman.
“Bersama kita jadikan peristiwa ini sebagai satu pengajaran bahawa kita menolak budaya buli di jalanan.
“Serta mendokong prinsip kesopanan dan kesusilaan yang termaktub di dalam rukunegara bagi memastikan keharmonian negara kekal terpelihara,” katanya sambil memohon semua sedekahkan bacaan surah Al Fatihah buat Allahyarham.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor