PETALING JAYA: Ketidakpuasan hati dalam kalangan pimpinan
Pakatan Harapan di Selangor membuak-buak ekoran cadangan pindaan yang
membolehkan penukaran agama anak secara sebelah pihak di negeri itu.
Sumber dari PH Selangor berkata pimpinan meminta Menteri
Besar Selangor, Amirudin Shari memanggil suatu mesyuarat tergempar.
“Kenapa timbulkan isu penukaran agama sebelah pihak yang
sudah diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan?
“Tak cukup lagi masalah sekarang? Kita bersusah payah mahu
menunaikan janji-janji dalam manifesto tetapi sekarang perlu berdepan orang
yang mahu berpatah balik dalam hal undang-undang persekutuan,” katanya kepada
FMT.
Beliau berkata sekarang bukan masanya menyentuh isu agama
kerana orang ramai mahu PH menambahbaik ekonomi.
Beliau berkata mesyuarat itu dijangka berlangsung esok dan
“kami semua mahu menyoal Amirudin” mengenai cadangan pindaan itu.
“Kekecewaan semakin bertambah.”
Beliau berkata spekulasi mengatakan cadangan pindaan
mengenai penukaran agama sebelah pihak itu bertujuan mengukuhkan kedudukan
politik pemimpin tertentu dalam kalangan pengundi Melayu, susulan perpecahan
antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali selepas
kemunculan video seks sejenis pada Jun.
“Tetapi pengukuhan kuasa itu boleh menyebabkan DAP menjadi
lemah. Ia boleh menyebabkan ramai orang bukan Melayu tidak gembira,” katanya.
Seorang lagi pemimpin PKR berkata pimpinan Selangor parti
itu dijangka akan bertemu Amirudin secara peribadi mengenai isu itu.
“Ramai tidak mahu kerajaan Selangor berpatah balik dalam isu
agama ini.
“Ramai mengharapkan seorang menteri besar baru jika dia
meneruskan pindaan itu kerana ia mungkin menyebabkan kaum-kaum lagi tersisih,”
katanya.
Seorang pemimpin PKR yang menyokong Anwar berkata ia tidak
sepatutnya dibuat untuk memperoleh kuasa.
Mereka mengulas laporan Malaysiakini bahawa menteri besar
cuba membawa satu pindaan bagi menukar perkataan dalam enakmen berkenaan
penukaran agama anak.
Mahkamah Persekutuan tahun lepas memutuskan penukaran agama
anak perlu disetujui oleh ibu dan bapa.
Pindaan di Selangor itu mahu menukarnya kepada “ibu atau
bapa”.
Idris Ahmad
Sumber lain berkata Amirudin mungkin dipanggil ke lembaga
disiplin PKR tidak lama lagi berhubung kenyataannya berkaitan video seks
sejenis.
“Kalau dia digantung, kami mahu Idris ambil alih,” katanya,
merujuk kepada Adun Ijok, Idris Ahmad menggantikan Amirudin.
Sumber berkata usaha menjadikan Idris menteri besar
seterusnya mungkin antara sebab kenapa Amirudin mahu menguatkan kuasanya di
Selangor dengan meraih lebih banyak sokongan orang Melayu.
Idris, yang dilihat menyokong Anwar, disebut sebagai menteri
besar Selangor selepas Azmin dilantik menjadi menteri persekutuan, tetapi
jawatan itu diberi kepada Amirudin.
Amirudin ketika dihubungi mengesahkan mesyuarat bersama
pimpinan PH di kediamannya esok.
“Ia mesyuarat peribadi dan bukan mengenai cadangan-cadangan
pindaan itu.
“Itu isu negeri dan perkara seperti itu tidak dibincangkan
di kediaman peribadi,” katanya.
SUMBER : Minderjeet Kaur FREEMALAYSIATODAY
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor