Seluas 2,530 hektar daripada 1.56 jua hektar Hutan Simpanan Kekal di Pahang diceroboh secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menteri Besar, Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rekod yang diperoleh membabitkan pencerobohan di beberapa daerah di negeri ini.
Menurutnya, antara kawasan yang terlibat ialah di Cameron Highlands, Raub dan Bukit Ibam di Rompin.
“Dalam menangani masalah ini, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melakukan pemantauan secara berkala.
"Bagi tahun ini, jabatan itu telah melaksanakan tiga operasi iaitu Ops Tanglung, Ops Lombong 4 dan Ops Peronda bagi menyekat aktiviti pembalakan dan perlombongan haram.
"Operasi itu bukan sahaja membabitkan Jabatan Perhutanan, malah agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Pejabat Tanah dan dan Galian (PTG)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini menjawab soalan Datin Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam) yang ingin tahu keluasan HSK di negeri ini.
Isu pencerobohan Hutan Simpan Kekal juga disentuh oleh Sim Chon Siang (PH-Teruntum) yang mendakwa hampir 50 hektar Hutan Simpan Kekal di Sungai Lembing di sini, diteroka secara haram yang menurutnya dapat dilihat dengan jelas semasa menaiki kapal terbang.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, pihak berkuasa tidak boleh bertindak secara melulu tanpa sebarang aduan yang diterima berhubung aktiviti pembalakan haram.
Jelasnya, langkah itu bertujuan menjamin keselamatan anggota yang menyiasat ke kawasan terbabit.
“Kita tidak mengetahui latar belakang pihak yang terbabit dalam aktiviti haram itu.. mereka bukan calang-calang orang kerana ia turut membabitkan kumpulan mafia atau gengster. Berdasarkan rekod, ada kakitangan PTG pernah menerima ugutan.
“Atas faktor, kita akan meneliti aduan terbabit sebelum sebarang tindakan susulan dilakukan dan ia tidak dilakukan secara tergesa-gesa," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor