Sektor minyak sawit tempatan dijangka berhadapan saingan
yang lebih tinggi di India berikutan cadangan Kementerian Kewangan dan
Perdagangan negara itu untuk menaikkan duti ke atas minyak sawit dari Malaysia
kepada 50 peratus daripada 45 peratus.
Public Investment Bank (PIB) dalam nota kajiannya hari ini
berkata, cadangan itu akan menyebabkan kerugian besar kepada pengeksport minyak
sawit Malaysia apabila duti keistimewaannya hilang berbanding rakannya dari
Indonesia.
“Ini akan terus menekan inventori minyak sawit Malaysia pada
bulan-bulan akan datang, memandangkan pengeluaran separuh kedua dijangkakan
lebih tinggi mengikut musim," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata pada masa ini perbezaan harga
antara minyak sawit Malaysia dan Indonesia adalah sebanyak lima peratus.
"Cadangan itu negatif kepada sektor minyak sawit
Malaysia, yang sudah pun lemah disebabkan oleh prestasi harga minyak sawit
mentah (MSM) yang rendah. Jika cadangan itu menjadi kenyataan, kami
menjangkakan eksport yang lebih rendah ke India pada bulan-bulan akan
datang," katanya.
India, pengimport minyak sawit terbesar di dunia, menyumbang
28 peratus daripada jumlah import minyak sawit Malaysia pada separuh pertama
tahun ini. Setakat ini tahun ini, harga purata MSM sebanyak RM1,980 setan,
merosot 17.6 peratus tahun ke tahun. Unjuran sektor ini kekal neutral.
Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor