KUANTAN, 21.7.2019 : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan
Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menzahirkan ucapan
takziah kepada keluarga tiga mangsa yang maut dalam kebakaran di Kampung Sungai
Isap 2 di sini, pagi tadi.
"Takziah buat keluarga mangsa. Al-Fatihah. Semoga roh
mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang solihin dan
muttaqin," titah baginda menerusi pesanan WhatsApp menerusi pegawai
baginda.
Sultan Abdullah juga menitahkan supaya pihak berkuasa yang
terlibat, untuk segera memberi bantuan termasuk membina semula tiga buah rumah
yang musnah dalam kebakaran itu.
Pada kejadian 7.45 pagi tadi, mereka yang maut selepas
dipercayai terperangkap dalam kebakaran itu ialah Sharifah Azlina Syed Kassim,
37, dan dua anaknya iaitu Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, serta Muhammad
Adam Daniel, 7.
Mayat Sharifah Azlina dijumpai rentung dalam bilik belakang
rumah itu manakala Muhamad Haikal dan Muhamad Adam Daniel ditemukan di sebuah
lagi bilik belakang rumah yang dihuni lapan individu itu.
Kejadian juga menyebabkan suami Sharifah Azlina, Hairol
Khalid, 38, adik Sharifah Azlina, Syed Azman, 25, dan isterinya Norazilah
Abdullah, 23, parah.
Adik Norazilah, Nor Syawalina Abdullah, 19, pula cedera
ringan, manakala anak Syed Azman, Muhammad Alif Asyraf, 6, tidak mengalami
kecederaan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata siasatan awal
mempercayai kebakaran bermula di bahagian tengah rumah itu, sebelum merebak ke
rumah berhampiran.
Katanya, bomba dengan kekuatan dua jentera bersama 17
pegawai dan anggota mengambil masa hampir 20 minit untuk mengawal kebakaran dan
semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini,
hari ini.
Selain rumah mangsa, sebuah rumah yang terlibat difahamkan
adalah rumah ayah bekas pemain bola sepak Pahang, Zulhamuzan Zakaria, yang
pernah membantu Pahang menjulang beberapa kemenangan sekitar awal 1990-an.
Sumber: BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor