KUANTAN- Kerajaan Negeri memperoleh kelulusan untuk menaik
taraf Kuantan sebagai sebuah bandar raya, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan
Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, kelulusan daripada Kabinet itu dimaklumkan
menerusi surat daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,
bagaimanapun tidak mengulas lanjut tarikh surat itu.
Wan Rosdy mengesahkan surat itu juga diterima oleh
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.
"Kita sudah membuat tindakan dan persiapan sewajarnya
setelah menerima surat kelulusan itu. Bagaimananapun perkara ini akan mengambil
sedikit masa dan tidak akan berlaku dalam tempoh singkat.
"Masih ada syarat yang perlu dipatuhi, persiapan yang
perlu dilakukan selain beberapa lagi siri perbincangan melibatkan Majlis
Perbandaran Kuantan (MPK) dan kerajaan negeri serta mungkin melibatkan Kerajaan
Persekutuan," katanya.
Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas
merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian
Pahang (PKPP) dan Kem Nemo di sini, hari ini.
Beliau juga melihat perubahan status bandar Kuantan akan
membawa banyak kesan positif kepada penduduk dalam pelbagai sektor seperti
kemudahan infrastruktur kerana perkara itu sebahagian daripada keperluan untuk
menjadi bandar raya.
Sumber - Bernama
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor