KUANTAN - Cik Puan Muda Pahang, Cik Puan Muda Julita Aishah
Abdul Latiff mengalami kecederaan pinggang selepas kenderaan jenis Toyota
Alphard dinaikinya terlibat kemalangan dengan sebuah lori jenis Isuzu di
Kilometer 25 Jalan Kota Tinggi-Mersing dekat Mersing, Johor kira-kira pukul 9
pagi tadi.
Sementara itu, pemandu lori tersebut, Masod Daud, 53, yang
berasal dari Mersing mengalami kecederaan patah kaki kanan akibat kejadian
tersebut.
Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan, Mohd.
Shafiq Shahdan Mohd. Ali, 24, serta pembantu rumah yang merupakan warga
Filipina pula tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing
menerusi kenyataan berkata, kenderaan dinaiki Cik Puan Julita Aishah yang
merupakan isteri Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah itu
dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju Kuantan.
“Semasa tiba di tempat kejadian, dipercayai pemandu MPV
telah memasuki laluan bertentangan lalu berlanggar dengan sebuah lori di
bahagian sisi kanan.
“Pemandu lori telah dikejarkan ke Hospital Mersing.
“Cik Puan Muda Pahang serta pemandu dan pembantu rumahnya
pula dikejarkan ke hospital di Kuantan (Hospital Tengku Ampuan Afzan),” kata
beliau.
Ujar beliau lagi, kejadian tersebut disiasat mengikut
Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -
SUMBER : KOSMO ! ONLINE
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor