Impian seorang pelajar, Abdul Manaf Abdul Aziz untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran lebih cerah apabila beliau bersama 6 orang pelajar lain mendapat bantuan Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) Pahang 2019.
Beliau merupakan salah seorang pelajar cemerlang daripada Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah (SHAH) yang memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan SPM 2018.
Ketika ditemuramah, Abdul Manaf berkata, beliau akan menggunakan wang sumbangan tersebut sebaiknya untuk mencapai cita-cita menjadi seorang doktor.
“Gembira dan bersyukur dapat bantuan biasiswa ini. Boleh bantu saya melanjutkan pelajaran ke menara gading.
“Buat masa ini saya sedang mempertimbang beberapa tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan,” katanya.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan kisah beliau yang mempunyai masalah untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi atas kesempitan hidup yang dialami olehnya dan keluarga.
Bapanya, Abdul Aziz Osman, 60 hanya bekerja kampung untuk membesarkan beliau lima beradik manakala ibunya, Hasliza Amanah telahpun meninggal dunia tahun lalu akibat masalah buah pinggang.
Kini mereka sekeluarga tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Temai, Pekan.
Laporan mengenai beliau akhirnya mendapat perhatian pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menawarkan Abdul Manaf mengikuti program asasi perubatan di kolej tersebut.
Dalam program penyerahan hari ini, setiap pelajar menerima insentif wang tunai RM1,000; sijil penghargaan; surat amanat dan plak yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi di Wisma Sri Pahang.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor