Pages

Friday, April 12, 2019

PAHANG GEMBIRA PROJEK ECRL KEMBALI LAKSANA



Pahang gembira Projek ECRL kembali laksana



Kerajaan Negeri Pahang hari ini menyatakan kegembiraannya ekoran keputusan Kerajaan Pusat meneruskan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada kos yang dikurangkan.

“Kerajaan Negeri gembira dengan keputusan ini. Moga-moga apa juga kerja yang terhenti seketika sebelum ini dapat diteruskan semula.

“Di Pahang, semasa Kerajaan Pusat umumkan pemberhentiannya, kemajuan kerja telahpun berada pada antara 13 dan 14 peratus.

“Amat membazirkanlah jika projek ini tidak diteruskan,” kata Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan media petang ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan media oleh Pejabat Perdana Menteri mengenai ECRL itu tengah hari ini.

Kenyataan media itu antara lain menyebut bahawa projek mega berkenaan akan diteruskan dengan pengurangan kepada kosnya kepada RM44,000 juta daripada yang asal, RM65,500 juta.

Sehubungan itu, Perjanjian Tambahan (SA) mengenainya telah ditandatangani antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

“Oleh itulah, kita gembira dengan keputusan meneruskan projek ini.

“Selain ia dapat mengembalikan peluang pekerjaan, siapnya kelak pasti mendatangkan kesan limpahan ekonomi yang besar kepada negeri ini,” katanya lagi.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor