Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengalu-alukan kesediaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Auditorium Tun Suffian, Universiti Malaya yang jelas bukan sahaja menghasut bahkan menghina institusi Raja-Raja Melayu yang turut menampilkan Peguam Negara Tommy Thomas sebagai salah seorang panelisnya.
Walaupun begitu, Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menimbulkan persoalan apakah yang akan berlaku selepas kertas siasatan di peringkat PDRM selesai serta diangkat ke Pejabat Peguam Negara dan apakah Peguam Negara akan mendakwa dirinya sendiri.
“Sebab itulah adalah lebih beretika jika Tommy Thomas meletakkan jawatan selaku Peguam Negara sebelum dipecat oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (DYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong.
“Desakan Pemuda UMNO ini adalah munasabah malah amat selari dengan peruntukan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa “Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong”.
“Bagi Pemuda UMNO, Tommy Thomas sudah tidak layak memegang jawatan Peguam Negara kerana beliau boleh dianggap bersubahat bahkan langsung tidak mempertahankan Raja-Raja Melayu tatkala panelis Forum menyalahgunakan kebebasan bersuara yang mereka miliki untuk menukar forum awam ini menjadi satu medan terbuka untuk membangkitkan kebencian dan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu di hadapan Peguam Negara tersebut,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Asyraf turut menyenaraikan tiga kebencian dan penghinaan utama terhadap Raja-Raja Melayu.
“Pertama, mendakwa Raja-Raja Melayu merasa terancam dan tidak memberi perkenan kepada ratifikasi Statut Rom kerana mahu melindungi diri mereka dari jenayah kemanusiaan yang mereka lakukan.
“Kedua, mendakwa Raja-Raja Melayu dari Johor ke Perlis bukan keturunan Raja sebenarnya tetapi adalah keturunan daripada orang yang diletakkan sebagai Raja oleh British.
“Terakhir, mendakwa Raja-Raja Melayu makin meluas menentang, menceroboh dan melanggar perlembagaan negara, termasuk dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara,” ujarnya lagi.
Justeru Asyraf musykil bagaimana mungkin Tommy Thomas sebagai Peguam Negara boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dengan baik dari sudut undang-undang apabila beliau langsung gagal bersuara malah bersekongkol bila perlanggaran undang-undang membabitkan Baginda dan institusi Raja-Raja Melayu berlaku di hadapan beliau.
“Sewajarnya Peguam Negara tidak perlu hadir bersekongkol bahkan sepatutnya menasihatkan penganjuran forum awam ini dibatalkan setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan kabinet memutuskan bahawa kerajaan Malaysia akan menarik balik ratifikasi ke atas Statut Rom,” tambahnya.
Sehubungan itu katanya, Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Tommy Thomas meletakkan jawatan secara terhormat kerana ternyata telah membelakangi DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia yang telah membuat keputusan menarik balik ratifikasi Statut Rom ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor