Pages

Wednesday, January 16, 2019

IKRAR TAAT SETIA DAN KEYAKINAN TINGGI KEPADA PEMERINTAHAN KDYMM SULTAN PAHANG KE-VI






“Patik pacal-pacal sekalian, mempunyai keyakinan yang teramat tinggi, bahawa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan tetap berjaya di singgahsana takhta kesultanan negeri Pahang Darul Makmur dengan penuh kebesaran dan kedaulatannya,” kata Menteri Besar.


IKRAR TAAT SETIA... 


BALAIRUNG SERI, ISTANA ABU BAKAR, BANDAR DIRAJA PEKAN – Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan keyakinan tingginya terhadap pemerintahan KDYMM Sultan Pahang Ke-VI, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah. 

“Patik pacal-pacal sekalian, mempunyai keyakinan yang teramat tinggi bahawa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan tetap berjaya di singgahsana takhta kesultanan negeri Pahang Darul Makmur dengan penuh kebesaran dan kedaulatannya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menyampaikan ucapan kira-kira 10-minitnya – Ikrar Taat Setia mewakili Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri; Wakil Rakyat-Wakil Rakyat; Pegawai-pegawai Kerajaan; Badan-badan Berkenaan serta Rakyat Seluruh Negeri Pahang Darul Makmur.

Ini bersempena dengan Istiadat Pemasyhuran KDYMM Sultan Abdullah sebagai KDYMM Sultan Pahang Ke-VI pada pagi Selasa, 15 Januari di sini. 

Dato’ Sri Wan Rosdy seterusnya berkata, KDYMM Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tentunya mempunyai pendekatan-pendekatan tersendiri yang bakal Baginda laksanakan kelak.
MENYEMBAH SALAM KE SISI KDYMM SULTAN PAHANG KE-VI... 



PENDIRIAN JELAS DAN TEGAS


“Malah, daripada segi peranan Raja-raja Melayu sendiri, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mempunyai pendirian yang bukan sahaja jelas tetapi tegas. 

“Ini sepertimana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku titahkan ketika diwawancara oleh sebuah majalah tempatan pada tahun 2008.

“Patik mohon memetik antara titah tersebut - “Sudah tentu peranan Raja-raja bukanlah semata-mata menjadi ‘figure head’ tetapi yang lebih penting ialah sebagai ‘custodian of the state, protector of Malay rights and figure head of all races”.

“Dalam hal ini, bukan kaum Melayu sahaja yang berasa kepentingan mereka dilindungi, malah semua kaum juga, termasuk Cina, India dan Orang Asli.

“Pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Sultan Pahang Ke-6 ini pada hari ini, disambut baik oleh setiap kaum sama ada Melayu, Cina, India dan Orang Asli,” katanya lagi.




UCAPAN PENUH


Berikut disiarkan sepenuhnya ucapan oleh Menteri Besar;


Pada hari yang penuh bersejarah ini, Patik merafakkan puji dan syukur yang tidak terhingga, ke hadrat Allah Subahanhu Wata’ala, kerana atas kehendak dan izinnya juga, Patik serta pacal-pacal sekalian, telah dapat menyaksikan Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang yang Ke-6, Sultan Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. 

Sesungguhnya telah terjadi kehendak dan iradah Allah Subhanahu Wata’ala, telah ditentukan olehNya, masa dan waktunya, tempat dan keadaannya.

Maka, marilah bersama-sama memuji Allah Subhanahu Wata’ala atas kehendaknya, ditakdirkan Patik pacal-pacal serta rakyat-jelata sekalian, dikurniakan seorang Raja tempat bernaung dan berteduh; antara anugerah Allah yang terbaik dalam hidup, betapa besar kesyukuran atas nikmatnya yang tidak terhingga ini.

Pepatah orang tua-tua ada mengatakan – ‘Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi’. Inilah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang menjadi kebanggaan Patik, pacal-pacal serta rakyat-jelata sekalian. Pantang mendengar kesusahan rakyat, keperitan rakyat; Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan segera hadir untuk berdamping dengan rakyat-jelata.




Ini sangat menepati dengan apa yang telah sebati dengan sikap Keluarga Diraja di negeri ini, betapa ‘Raja, Rakyat, Sehati Sejiwa; Raja, Rakyat, Berpisah Tiada’. 

Tentunya apa yang dilakukan oleh Paduka Ayahanda, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah, telah menjadi teladan yang utama oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Patik dengan ini menyeru, kepada pacal-pacal sekalian yang hadir, agar menadah tangan, bermohon kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar Keluarga Diraja yang tercinta, dipelihara Allah Subhanahu Wata’ala, dirahmatinya dunia dan akhirat.

Izinkan patik mengambil ruang dan peluang ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Sultan Pahang yang ke-6, dengan doa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan kesejahteraan dan ilham kebijaksanaan sepanjang mentadbir negeri tercinta ini.

Patik dan hamba rakyat sekalian, berikrar dan berjanji, untuk terus setia di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan berjanji untuk menggembleng segenap tenaga bagi memastikan kedaulatan negeri ini sentiasa terpelihara.





PEMERINTAHAN TERUS KEKAL CEMERLANG


Patik serta sekalian rakyat-jelata, sesungguhnya berasa sangat bertuah kerana kini dapat bernaung pula, di bawah payung pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Ini sepertimana juga bertuahnya patik, pacal-pacal serta rakyat jelata sekalian, dapat bernaung di bawah payung pemerintahan Paduka Ayahanda, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah, selama ini.

Patik percaya, pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan terus kekal cemerlang sepertimana cemerlangnya pemerintahan Paduka Ayahanda terdahulu.

Dengan kecemerlangan ini, insyaAllah, negeri Pahang dapat terus makmur dan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, akan kekal sejahtera.

Sesungguhnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri telahpun sekian lama, dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang, termasuklah selama lima (5) tahun, ketika Paduka Ayahanda bersemayam di Istana Negara, sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.


PENGALAMAN SEBAGAI PEMANGKU RAJA


Dengan pengalaman-pengalaman tersebut Patik percaya, telah membuatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku amat berpengalaman, dalam mengendalikan urusan sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

Sehubungan dengan itu, Patik pacal-pacal sekalian, mempunyai keyakinan yang teramat tinggi bahawa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan tetap berjaya di singgahsana takhta Kesultanan Negeri Pahang Darul Mmakmur dengan penuh kebesaran dan kedaulatannya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku tentunya nanti mempunyai pendekatan-pendekatan tersendiri yang bakal Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku laksanakan kelak.

Malah, daripada segi peranan Raja-raja Melayu sendiri, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mempunyai pendirian yang bukan sahaja jelas tetapi tegas. 

Ini sepertimana Kebawah Duli Yang maha mulia tuanku titahkan ketika diwawancara oleh sebuah majalah tempatan pada tahun 2008.


‘CUSTODIAN OF THE STATE’


Patik mohon memetik antara titah tersebut - “Sudah tentu peranan Raja-raja bukanlah semata-mata menjadi ‘figure head’ tetapi yang lebih penting ialah sebagai ‘custodian of the state, protector of Malay rights and figure head of all races”.

Dalam hal ini, bukan kaum Melayu sahaja yang berasa kepentingan mereka dilindungi, malah semua kaum juga, termasuk Cina, India dan Orang Asli.

Pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai Sultan Pahang Ke-6 ini pada hari ini, disambut baik oleh setiap kaum sama ada Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

Mengenai Melayu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku selalu menitah-ingatkan mereka supaya kekal bersatu-padu, tidak bertelagahan sesama sendiri, apatah pula jika puncanya ialah politik.

Sesungguhnya, Patik pacal-pacal sekalian, sangat bertuah kerana dapat tinggal di negeri Pahang Darul Makmur di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dengan aman dan damai.


TUANKU SEBAGAI FAKTOR PENYATU


Ini dimungkinkan oleh pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai faktor penyatu, atau ‘unifying factor’ dalam kalangan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang berbilang kaum, agama dan latar belakang ekonomi.

Sehubungan itu juga, keadaan keselamatan adalah terkawal sama ada yang dapat dilihat secara lahiriah mahupun menerusi rekod, statistik yang membuktikan kadar jenayah sentiasa rendah berbanding negeri-negeri lain.

Patik pacal-pacal sekalian sentiasa sahaja bersyukur atas nikmat hidup selamat dan sejahtera ini. Moga-moga ia akan akan kekal selamat dan sejahtera untuk selama-lamanya.

Bersempena Istiadat Pemasyhuran ini, Patik mewakili Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Wakil-wakil Rakyat, Pegawai-pegawai Kerajaan, Badan-badan Berkanun dan Rakyat seluruh Negeri Pahang Darul Makmur; 

Ingin menzahirkan Ikrar Taat Setia yang tidak terhingga, Patik pacal-pacal sekalian, ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sebagai Sultan Pahang Ke-6.


DOA BUAT KELUARGA DIRAJA

Moga-moga dengan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dapat menjalankan pemerintahan ke atas Negeri Pahang Darul Makmur ini, dengan penuh berkesan dan jayanya.

Sekianlah sahaja persembahan ucapan Ikrar Taat Setia Patik yang tidak sepertinya ini.

Dengan ini juga, Patik mewakili pacal-pacal sekalian, mohon ampun dan maaf ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sekiranya terdapat sebarang kekurangan dan keterlanjuran tutur-kata dalam persembahan ucapan Patik ini. 

Patik berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala, moga-moga Paduka Ayahanda yang tercinta, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Muadzam Shah, berada dalam keadaan damai-sejahtera. 

Selanjutnya, Patik juga berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala, moga-moga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, terus dikurniakan kecemerlangan hidup, sihat-wal‘afiat, dilanjutkan usia, aman-sentosa disamping Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Puan Pahang, serta Yang Amat Mulia Paduka-paduka Anakanda dan Cucunda-cucunda.

Amin, amin, amin. Ya rabbal a’lamin. 

‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’. 

Ampun Tuanku.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor