Raub, 16. 01.2019 : Pengerusi Barisan
Nasional (BN) Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata parti itu bersedia
membentangkan perbelanjaannya sepanjang
kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands selepas pilihan raya selesai.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang
yakin calon BN, Ramli Mohd Nor tidak mempunyai masalah untuk membentangkan
belanjawan sepanjang tempoh itu.
“Kita akan bentang menurut apa yang ditetapkan
oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)… tiada ada yang nak diselindungkan atau
disembunyikan,” katanya selepas
Majlis Penyampaian Bantuan Kerajaan Negeri serta Hadiah Pelajar Cemerlang UPSR
2018 Parlimen Raub.
Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha
Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Datuk Aziz Kiram yang juga
Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Talam dan Pengurus Besar Yayasan Pahang
Datuk Mahmud Mohd Nawawi.
Wan Rosdy berkata demikian sebagai mengulas
kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang yang melontar cabaran sama ada BN bersedia
mendedahkan perbelanjaan parti sepanjang kempen PRK berkenaan.
Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu
membuat kenyataan terssebut selepas penularan beberapa keping gambar yang
menunjukkan seorang petugas parti Pakatan Harapan memberikan wang kepada Orang
Asli yang bertugas pada proses penamaan calon di Tanah Rata, 12 Jan lalu.
Wang itu dilapor diberikan sebagai membayar
semula wang minyak motosikal seramai 60 Orang Asli yang hadir pada hari
berkenaan dengan masing-masing menerima RM20.
Mengulas lanjut tentang perkara itu Wan
Rosdy berkata: “Kita yakin pengundi bijak menilai dan melihat apa yang
berlaku.”
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor