Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Barisan Nasional (BN) telah pun bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang bakal diadakan pada 26 Januari ini.
Jelas beliau, antara perkara yang bakal diberi penekanan adalah memberikan tumpuan bagi berjumpa seramai mungkin pengundi secara empat mata.
“Kita sudah membahagikan kawasan-kawasan mengikut peti undi. Selain itu juga akan memberi penekanan terhadap perjumpaan empat mata dengan pengundi di Cameron Highlands ini.
“Kita akan memperhalusi isu-isu yang belum diselesaikan seperti permohonan tanah tol dan isu-isu di bawah bidang kuasa kerajan negeri. Memandangkan kerajaan pusat bukan lagi di bawah BN maka agak sukar untuk kita memberi tumpuan kepada isu membabitkan kerajaan pusat tapi ini bukan bermakna kita tidak akan memperjuangkan masalah rakyat yang memerlukan perhatian kerajaan pusat,” jelas beliau kepada UMNO-Online.
Ketika ditanya berkaitan peluang untuk BN mengekalkan kerusi Parlimen ini, ujar Sharkar yang juga Exco Kerajaan Negeri, harapan untuk mempertahankan Parlimen Cameron Highlands agak tinggi.
“Kita yakin tetapi tidaklah ‘over confident’. Bagi saya masyarakat di sini tahu bagaimana kita salama ini menjaga mereka.
“Maka saya pasti mereka akan terus memberi undi kepada kita,” katanya.
PRK Cameron Highlands diadakan setelah Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi kerusi tersebut Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon BN adalah terbatal dan tidak sah.
Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujudnya amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk C Sivarraajh.
Pada PRU-14 yang lalu, Sivarraajh menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.
Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon Dap, M Manogran, yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud (PAS – 3,587 undi); Mohd Tahir Kassim (Berjasa – 81 undi) dan B Suresh Kumar (PSM – 680 undi).
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor