Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tindakan pemimpin Sabah yang keluar daripada UMNO secara beramai-ramai sebagai suatu perkara yang besar dan memerlukan perhatian.
Akan tetapi, beliau berpandangan semua pihak harus berlapang dada dan menerima keputusan ini dengan terbuka dan rasional.
“UMNO harus mengambil pendekatan yang positif dalam berhadapan dengan isu ini. UMNO tidak boleh melenting, tidak boleh beremosi secara melulu. Jika itu keputusan dan ketetapan pemimpin UMNO Sabah, UMNO Semenanjung wajar hormati.
“Isu ini melibatkan kesetiaan dan kebersamaan. Kedua-dua perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa dan wajar dijual beli. Ia mesti hadir dengan keterbukaan dan secara suka rela,” jelasnya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mohamad juga menyarankan kepada semua pendukung UMNO untuk terus menjalinkan hubungan dengan pemimpin di Sabah dan Sarawak walaupun tidak lagi dalam parti yang sama.
“Silaturahim dan perjuangan di antara pemimpin Melayu Semenanjung dan pemimpin Bumiputera Sabah dan Sarawak mesti diteruskan.
“Saya yakin, apabila tiba pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, sekiranya UMNO di Semenanjung dapat menguasai semula parlimen-parlimen Melayu, UMNO boleh bergabung dengan pemimpin Bumiputera Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan Persekutuan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau yakin dengan strategi kerjasama antara parti Melayu Semenanjung dan parti Bumiputera Sabah dan Sarawak itu sahajalah Dap dan pakatan mereka boleh ditewaskan.
“Malah, saya juga yakin, dengan strategi ini juga pemimpin Bumiputera Sabah dam Sarawak tidak akan terkesan lagi dengan agenda Islam dan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO di Semenanjung.
“Pada masa yang sama, kerjasama UMNO dan Pas atas landasan Islam dan Melayu tidak akan menyebabkan kita berpecah dengan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam masa yang sama, Mohamad turut mengakui terdapat kebenarannya bahawa pendukung UMNO mesti mengelakkan parti ini daripada menjadi semakin kecil dan lemah.
“Tetapi proses ini tidak boleh berlaku dengan cara yang memaksa kita membuat musuh baru dan kehilangan rakan yang ada.
“Yang pasti, agenda memulih dan menguatkan kembali UMNO akan terus diusahakan sehingga parti ini kembali diyakini,” tegasnya .
Mohamad juga mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pemimpin Sabah yang keluar dari parti.
“Terima kasih atas segala sumbangan dan jasa kepada UMNO, kepada orang Melayu dan Bumiputera Sabah, dan kepada negara selama ini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor