Petronas mungkin menjadi aset terbaru negara yang akan dijual oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ini terserlah apabila beberapa media antarabangsa melaporkan bahawa menteri-menteri Kerajaan sudah memulakan pelan bagi melupuskan 25% ekuiti kerajaan di dalamnya melalui penyenaraian awam di bursa saham, yang dijangka memberi pulangan dana RM200 bilion kepada PH.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menganggap tindakan menjual ekuiti Petronas kepada pelabur luar negara bukanlah langkah yang bijak.
“Apatah lagi Petronas kini memiliki aset yang sudah melebihi sekali ganda dari aset asal dan aset wang tunainya sudah melambung kepada RM150 bilion sebelum kerajaan diambilalih oleh PH.
“Kita bimbang jika ini menjadi kenyataan, Petronas adalah ‘kambing hitam’ terbaru yang dikorbankan oleh PH. Minggu lepas kerajaan menjual ekuiti konglomerat hospital IHH kepada Mitsui, Jepun.
“Kita juga diberitahu kerajaan PH akan memaksa Petronas untuk membayar dividen RM82 bilion kepada mereka tahun ini dan tahun depan.”
Dalam hal ini, katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan tidak menafikan langkah menjual ekuiti Petronas ‘sedang dibincang’.
“Kenapa dibebankan Petronas? Kerajaan PH sepatutnya mencari sumber lain bagi menguruskan masalah kewangan mereka, bukannya membunuh angsa yang bertelor emas yang boleh dimanfaatkan oleh generasi akan datang,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong.
Katanya, penjualan ekuiti dalam Petronas patut dan mesti dielakkan bagi membolehkan Petronas terus berperanan sebagai rizab dan khazanah negara di masa depan untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Kita sangat tidak bersetuju jika penjualan ini dilakukan. Petronas juga harus kekal sebagai rizab kepada negeri negeri pengeluar minyak seperti Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
“Petronas tidak seharusnya dijadikan ‘bahan dagangan’ untuk jual beli bagi keuntungan pihak swasta dan kepentingan syarikat asing.
“Petrol itu memanglah bahan dagangan, tapi bukan Petronas. Petronas adalah sebuah syarikat negara, syarikat kebangsaan yang menjadi lambang kedaulatan negara .. menjual Petronas sama seperti menjual negara.”
Jelasnya, dengan Projek RAPID, Petronas kini telah beroperasi dengan baik dan akan menikmati pulangan hasil yang lumayan dari pelaburan dalam projek gas di Kanada dan status Petronas adalah lebih berdaya maju.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor