Keperitan hidup yang semakin tertekan ditanggung rakyat terutama masyarakat kampung yang memperolehi pendapatan tidak menentu serta tidak seberapa mendapat perhatian yang amat tinggi dari Ahli-ahli Parlimen Pembangkang dan mereka menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) proaktif membela kebajikan golongan tersebut.
Menerusi ciapan di Twitter, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata masalah yang membelenggu masyarakat luar bandar tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dari menteri kabinet PH.
“Subuh-subuh begini teringat masa kecil di kebun getah. Mak ayah bawa sekali sambil jaga dua adik dalam pondok kayu kecil di tengah kebun. Mereka menoreh menyuluh dengan lampu minyak tanah letak di kepala.
“Menteri-menteri PH ini tak ada pengalaman sebegini. Mereka tidak sensitif kesusahan rakyat,” tegasnya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Begitu juga dengan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang turut menaikkan status di Twitternya, menggambarkan apa yang terpaksa dihadapi oleh penoreh getah kini dengan memperolehi pendapatan yang amat rendah adalah satu realiti.
“Realiti di akar umbi,” ujarnya yang ‘retweet’ laporan akhbar Utusan Online: “Jika dahulu mereka menikmati hasil menoreh getah lebih RM1,500 sebulan, tetapi kini hanya mampu memperoleh pendapatan antara RM500 hingga RM700 sebulan.”
Manakala di dalam Facebook milik Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan apakah pemimpin PH tiada perasaan apabila pekebun kecil hanya mampu meraih pendapatan bersih RM280 sebulan akibat ‘trend’ kejatuhan harga kelapa sawit.
“Hakikat menyedari, biarpun tarikh 9 Mei 2018 merupakan kejayaan buat pemerintah PH yang julung kalinya menang pilihan raya tetapi ia juga menjadi tarikh dukacita buat rakyat marhaen.
“Belum lagi disentuh tentang janji-janji yang ditabur semasa kempen Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu,” tegasnya.
Presiden MCA itu turut mengajak rakyat mengimbau sejarah kegemilangan industri minyak kelapa sawit di era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Empat bulan pertama tahun 2018 (Januari – April), eksport minyak sawit Malaysia meningkat dengan ketara iaitu sebanyak 20 peratus.
“Pada 3 Januari 2017, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) merekodkan Harga Minyak Sawit Mentah (MSM) ialah pada paras RM3,252 setiap tan.
“Manakala pada 29 Disember 2017 pula, RM2,400/tan,” katanya.
Ini berbeza pada 26 Jun 2018, iaitu beberapa hari selepas PH menjadi kerajaan, harga minyak sawit mentah ialah RM2,277/tan manakala pada 26 Disember 2018 ia terus menjunam kepada RM1,903/tan, jelasnya lagi.
“Bayangkan daripada RM3,252 (Januari 2017) menjunam kepada RM1,903 (Disember 2018). Apa tindakan kerajaan PH? Duduk dan tenung?,” bidasnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor