UMNO mendesak agar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) membuat pendirian tegas berkaitan kenyataan Menteri Perpaduan, Senator P. Waytha Moorthy iaitu Malaysia akan memberi komitmen untuk tanda tangan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, selagi pendirian kerajaan tidak dimasukkan dalam hansard Parlimen secara rasmi, selagi itulah ‘manusia’ sejenis dengan Waytha akan menggunakannya untuk kepentingan politik perkaumannya.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Waytha ini seakan memberi gambaran kerajaan PH cuba menipu dan mengelirukan rakyat malah ia membawa makna ICERD akan diratifikasikan lambat-laun.
“Inilah satu hakikat yang perlu disedari oleh orang Melayu dan penduduk beragama Islam di negara ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.
Tambah beliau, janji kerajaan sebelum ini untuk tidak meratifikasi ICERD kini sah hanya satu helah untuk memikat hati rakyat, khasnya orang Melayu. Ia cukup menghampakan.
“Waytha sebagai Menteri Perpaduan harus sedar bahawa Malaysia sudah aman dan hak semua kaum diiktiraf di bawah pemerintahan Barisan Nasional. ICERD tidak diperlukan di negara ini.
“Jika beliau (Waytha) menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan yang ada dan tidak mahu negara terjerumus ke kancah perkauman dan keagamaan, berhentilah daripada membuat kenyataan rasisnya itu.
“Harus diingat, UMNO bukan sahaja menentang ICERD untuk kepentingan Melayu dan Islam, malah meliputi pribumi Sabah dan Sarawak. Ini sudah diperjelaskan berulang kali tetapi Waytha sengaja tidak mahu memahaminya,” tegas beliau.
Menurut Shamsul, UMNO bersama-sama Pas dan lebih 500,000 rakyat Malaysia dari seluruh negara yang mengadakan Himpunan Aman Daulat 812 baru-baru ini jelas menolak ICERD kerana ia menjejaskan kepentingan Islam, orang Melayu Bumiputera, anak negeri dan pelbagai kepentingan kaum termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Parti Hindraf, yang memulakan gerakan pengiktirafan ICERD, nampaknya tidak belajar apa-apa daripada himpunan anti-ICERD pada 8 Disember lalu dengan provokasinya yang berterusan.
“Waytha seolah-olah cuba mempertahankan videonya yang diambil beberapa tahun lalu dengan pembohongannya mengenai orang Hindu dianaktirikan dan dipaksa memeluk Islam di negara ini”, ujarnya.
Alasan Waytha tegas Shamsul bahawa kerajaan pernah meratifikasi konvensyen dunia yang lain tidak langsung dapat diterima kerana ia tidak membabitkan kaum dan agama.
“Konvensyen itu adalah bagi mengiktiraf hak Orang Kurang Upaya (OKU), Kanak-Kanak dan Wanita. ICERD pula akan menjejaskan kepentingan orang Melayu dan Islam. Waytha perlu faham perkara ini,” bidasnya.
Shamsul turut berkata, penolakan ICERD adalah kunci kepada perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia.
Jelas beliau dengan mengiktiraf hak semua bangsa dan agama, seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan, ICERD tidak diperlukan langsung.
“Ini bukannya zaman apartheid Afrika Selatan. Ini adalah negara kita. Kontrak sosial jelas memelihara kepentingan serta hak semua kaum dan agama, dan ini tidak perlu dipertikaikan.
“Jika Dr Mahathir masih dengan pendiriannya untuk tidak meratifikasikan ICERD, fikirkanlah semula kedudukan Waytha sebagai menteri perpaduan, atau rakyat yang akan menjadi hakimnya,” ujar beliau lagi.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor