Kebanyakan ibu bapa mengeluh kerana kelengkapan persekolahan yang mahal dan amat berat dirasakan oleh mereka yang memiliki ramai anak.
Menurut ibu bapa, kebanyakan pusat beli-belah juga tidak memberi diskaun yang banyak dan keadaan itu membebankan mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia di sebuah gedung beli-belah di sini mendapati barangan persekolahan seperti kasut dijual pada harga sekitar RM29 hingga RM79 mengikut saiz dan jenama.
Seorang suri rumah, Nurul Intan Zanariah, 33, berkata, tidak banyak promosi yang dilakukan oleh peniaga sehinggakan mereka tiada pilihan selain terpaksa membeli pada harga yang tinggi.
“Baju Melayu putih dengan harga RM30 sepasang untuk kanak-kanak dijual secara berasingan dengan kain samping yang berharga RM17 ke RM26 mengikut saiz sehingga menyebabkan kami kerana terpaksa membayar lebih.
“Seorang anak tidak mungkin memakai sepasang baju kerana perlu bertukar pada setiap hari, jadi keadaan ini benar-benar membebankan kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, sebagai ibu bapa mereka menyokong usaha kerajaan untuk menukar kasut daripada warna putih kepada hitam kerana dapat memudahkan anak-anak menjaganya memandangkan kasut itu tidak mudah kotor.
Sementara itu, seorang peniaga, Zulkafli Abdul Kadir, 56, berkata, dia tidak terkesan sangat dengan kenaikan harga barangan sekolah kerana hanya seorang anaknya yang masih belajar namun bersimpati dengan keluarga yang terpaksa mengeluarkan duit lebih untuk urusan persekolahan.
“Ini belum masuk bayaran yuran serta buku latihan, seorang anak sahaja sekurang-kurangnya memerlukan lebih RM200 untuk kelengkapan sekolah,” ujarnya.
Sementara itu seorang pekerja swasta, Fazlina Abu Kasim, 44, berkata, harga barangan kelengkapan sekolah masih berpatutan walaupun naik sedikit.
“Kebanyakannya masih pada harga berpatutan dengan baju kurung berwarna biru masih berharga RM40 dan setahun hanya sekali membeli baju berkenaan.
“Saya juga dapat jimat kos kerana barang-barang lama seperti baju dan beg lama masih boleh digunakan untuk sesi persekolahan akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor