Tiga misi resolusi keluarga menjadi elemen yang ditekankan dalam Promosi Kempen My Famili #QuranHour Rumah Ngaji di negeri ini.
Tiga elemen itu, bina syurga di rumah, bina rumah di syurga dan berjuang masuk syurga sekeluarga.
Penyelaras Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Rozak berkata, elemen itu ditekankan dalam setiap majlis sama ada kuliah, kelas atau pada pelancaran Rumah Ngaji.
Menurutnya, Kempen My Famili#QuranHour yang mula digerakkan awal Muharam lalu dan penghayatannya sepanjang tahun bertujuan membawa masyarakat bertadabbur ayat-ayat al-Quran yang menyentuh aspek kekeluargaan untuk dihayati dan dipraktik dalam kehidupan seharian.
“Ini perancangan kami sempena tahun baru Islam ini dalam membawa kebaikan dan nilai-nilai kekeluargaan yang terbaik dan mendapat redha ALLAH,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas siri Kempen Program My Family #QuranHour dan Pelancaran Rumah Ngaji Masjid Jamek Batu 8 di sini.
Mohd Rozamli berkata, sambutan masyarakat terhadap operasi Rumah Ngaji amat baik malah ramai yang berminat dan menyatakan hasrat untuk menjalankan operasi Rumah Ngaji di premis mereka.
“Bagi kami di Rumah Ngaji Pahang, perkembangan itu sesuatu yang amat politif dalam usaha menyemarakkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan membaca dan memahami al-Quran serta mengamalkannya.
“Itulah kelainan Rumah Ngaji kerana ia bukan hanya menekan kepada aspek tajwid dan tahsin semata-mata tetapi membawa roh penghayatan al-Quran sebagai pedoman hidup,” katanya.
Menurutnya, melalui program tadabbur dan tazakur al-Quran yang diperkenalkan dapat membantu umat Islam memahami mesej yang disampaikan melalui ayat-ayat yang dibaca dan mengimplimentasikannya dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 15 Rumah Ngaji diwujudkan di negeri ini dan berdaftar di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.
“Bagaimanapun ada yang ditubuhkan tidak didaftarkan namun mengikuti program-program yang dianjurkan Rumah Ngaji.
“Lanjutan daripada pembukaan rumah ngaji berdaftar di Pahang ini, masyarakat berminat untuk wujudkan program ini di tempat mereka.
“Cumanya ada yang kurang jelas tentang operasi Rumah Ngaji ini kerana pada tanggapan mereka, setiap rumah ngaji yang ditubuhkan akan disediakan tenaga pengajar dan kos operasinya dibiayai sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, program Rumah Ngaji sebenarnya satu promosi atau penjenamaan dalam menggalakkan umat Islam belajar dan mendekati al-Quran melalui kempen seperti Malaysia#QuranHour dan World#QuranHour.
“Setakat ini dua Rumah Ngaji terbaharu dilancarkan iaitu Rumah Ngaji AlBakri di Bukit Angin, Temerloh dan Rumah Ngaji Masjid Jamek, Batu 8 di sini.
‘Kita jangkakan lebih banyak Rumah Ngaji bakal dibuka dan beroperasi di negeri ini berdasarkan sambutan diterima daripada masyarakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor