Pergerakan Wanita UMNO menzahirkan rasa kesal dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menangguhkan dan membatalkan projek-projek rakyat yang sudah diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).
Naib Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata berkata keputusan itu merupakan pengkhianatan kepada kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh majoriti rakyat kepada PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Lebih mendukacitakan, keputusan penangguhan lebih 4,000 projek rakyat seperti yang didakwa beberapa pihak itu dibuat ketika kerajaan PH terus gagal menunaikan janji-janji yang dibuat seperti di dalam manifesto PRU14 mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam konteks di Pulau Pinang, Norliza yang juga Ketua Wanita UMNO negeri turut menzahirkan rasa kecewa selepas beberapa projek membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam turut ditangguhkan.
Katanya keputusan penangguhan itu selain mengecewakan umat Islam di kawasan terlibat, turut mengundang persoalan mengenai sejauh mana kesungguhan kerajaan PH membela kedudukan Agama Islam sebagai agama Persekutuan.
“Kita difahamkan terdapat beberapa projek membina dan menaik taraf masjid, surau, sekolah agama dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di bawah peruntukan khas ketika kerajaan BN ditangguhkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Norliza berkata Wanita UMNO mendesak kerajaan PH menjelaskan mengenai status projek-projek yang ditangguhkan tersebut sama ada akan diteruskan pada masa hadapan atau dibatalkan.
Katanya Wanita UMNO juga menggesa badan berkaitan agama Islam di Pulau Pinang khususnya Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) supaya lebih berani dan agresif mempertahankan projek-projek itu seterusnya mendesak kerajaan PH melaksanakannya segera.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor