Pemuda UMNO Malaysia memandang serius kenyataan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, YB Tony Pua tentang pelepasan aset bukan teras dan bukan strategik oleh Khazanah Nasional Berhad dan juga Perbadanan Nasional Berhad, kononnya bagi meningkatkan penyertaan sektor swasta dan meningkatkan wang kerajaan.
Naib Ketua Pemudanya, Shahril Sufian Hamdan berkata, langkah drastik ini merupakan satu tindakan yang menodai kepentingan dan amanah yang di tanggung oleh kedua-dua organisasi berkenaan terutama PNB yang merupakan entiti pelaburan Bumiputera di dalam menjaga dan memajukan ekonomi Bumiputera.
“Jika dilihat kepada PNB secara khususnya, ia adalah instrumen pemilikan ekonomi Bumiputera yang telah berjaya meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam pelaburan ekuiti di mana 85 peratus daripada 13 juta pelaburnya adalah golongan Bumiputera.
“Manakala jika dilihat kepada aset terkumpul PNB tahun 2017 pula, ia telah pun mencecah RM279.2 bilion dan andai dikumpulkan bersama aset pegangan Khazanah pula yang berjumlah RM157.2 bilion, ia akan mencapai nilai RM436.4 bilion”, tegasnya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam entri terbaru facebook beliau.
Dengan jumlah aset sebanyak itu jelas beliau lagi, jikalau aset tidak strategik bagi kedua-dua entiti dianggarkan sekitar hanya 5 peratus pun dari jumlah penuh, maka nilainya adalah sekitar RM22 bilion.
“Ia masih suatu jumlah yang sangat besar dan sekiranya dilupuskan hanya syarikat-syarikat gergasi yang besar sahaja yang mampu membida dan sekalipun jika syarikat ini adalah syarikat Bumiputera, ia pasti tidak mempunyai mandat dan tanggung jawab menjaga kepentingan ekonomi Bumiputera sebagaimana PNB,” katanya.
Jelasnya lagi, ini kerana Khazanah dan PNB adalah pelabur jangka panjang yang juga mempunyai tanggungjawab memastikan kelangsungan dan keupayaan mereka membayar dividen, termasuklah ASNB, yang merupakan kepentingan buat ramai rakyat biasa Bumiputera.
“Lebih umum lagi, kadar peratusan ekuiti Bumiputera dalam Malaysia yang dilaporkan berada pada tahap 23.5% sebahagian besarnya adalah dari sumbangan pelaburan dan aset PNB.
“Maka persoalannya, mengapa Kerajaan tergesa-gesa menjual aset-aset pegangan Khazanah dan PNB? Dan sekiranya dilaksanakan, apa proses bagi mengenalpasti aset-aset tidak strategik atau tidak teras tersebut – apakah parameter penilaiannya, apakah skop dan jenis aset yang dimaksudkan? Dan syarikat swasta mana yang mampu beli aset-aset ini? ,” soalnya.
Tambah beliau, adakah langkah drastik ini semata-mata mahu mengambil jalan pintas mendapatkan pulangan jangka pendek ekoran banyak pelaburan PNB mencatat prestasi buruk selepas PH mengambilalih pentadbiran negara?
“Umum mengetahui prestasi negatif pasca 9 Mei ini akan menjejaskan pulangan dividen kepada pencarum.
“Justeru, kami meminta kerajaan agar mengendalikan ekonomi dengan lebih baik; usahlah mengambil langkah penjualan aset semata-mata sebagai “smokescreen” untuk menutup kelemahan sendiri,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor