Kerajaan Pahang menyasarkan untuk membina sebanyak 4,000 buah rumah Rumah Makmur dalam tempoh lima tahun bagi golongan rakyat Pahang yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Menteri Besar Dato' Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk pelaksanaan projek berkenaan.
"Sebelum ini kita sudah berjaya melaksanakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang dengan meluluskan pembinaan kira-kira 15,000 unit di seluruh negeri.
"Bagaimanapun kita dapati ramai yang tidak mampu membeli kediaman PR1MA kerana ia ditawarkan pada harga RM150,000 sedangkan permintaan terhadap rumah mampu milik ini sangat tinggi.
"Jadi, kita perkenalkan projek Rumah Makmur yang ditawarkan pada harga RM80,000 bagi mereka yang berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan," katanya kepada pemberita selepas Program Lawatan Kerja Menteri Besar ke Daerah Rompin dan pelancaran portal aduan rakyat, aduan.wanrosdy.com di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' Sri Safian Ismail dan Anggota Parlimen Rompin, Dato' Sri Hasan Ariffin.
Menurut Wan Rosdy pada masa kini, kerajaan negeri sudah membina 563 unit Rumah Makmur di Kampung Tiram; berhampiran Indera Mahkota, Bandar Tun Razak, Jengka (189 unit); Kuala Lanar, Lipis (290 unit) dan 200 unit di Keratong, Rompin.
Sementara itu, beliau berkata sejak portal aduan.wanrosdy.com dilancarkan dua minggu lalu, kerajaan negeri telah menerima sebanyak 160 aduan, bagaimanapun hanya empat daripada aduan tersebut mendapat maklum balas daripada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.
"Sehubungan itu setiap jabatan dan agensi terlibat diingatkan agar dapat mengambil serius tentang aduan yang diterima supaya kita dapat wujudkan satu kaedah penyelesaian aduan yang terbaik untuk rakyat," katanya.
Beliau menambah, kewujudan portal aduan secara langsung dapat menjamin kebenaran aduan berbanding luahan serta aduan yang diterima di media sosial seperti Facebook.
Katanya semua pengadu perlu mengikuti langkah yang ditetapkan seperti mengisi nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bersama aduan yang ingin disampaikan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor