Pages

Thursday, September 27, 2018

[KUANTAN] SASAR PELANCONG SINGAPURA


Sasar pelancong Singapura



Tourism Pahang menyasarkan kedatangan pelancong Singapura ke negeri itu meningkat 10 peratus tahun ini berbanding 1.2 juta yang direkodkan tahun lalu.

Pengurus Kanan Penggalakan dan Promosi Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, sasaran itu bersandarkan kedudukan dolar Singapura yang lebih tinggi berbanding ringgit sekarang, membolehkan lebih ramai rakyat Singapura menikmati percutian di Pahang.

"Pelancong dari Singapura merupakan antara penyumbang terbesar pelancong asing di negeri ini pada tahun lalu dan pada tahun ini kita menjangkakan jumlahnya meningkat kepada 1.32 juta orang,” katanya kepada Bernama di sini.

Kamaruddin berkata keindahan alam semula jadi Pahang dengan pantai yang bersih dan hutan serta tanah tinggi yang kaya dengan kepelbagaian fauna dan flora seperti Cameron Highlands dan Genting Higlands antara tarikan utama pelancong dari negara jiran tersebut.

Katanya bagi meningkatkan kecekapan sektor pelancongan negeri, promosi dijalankan mengikut koridor.

"Koridor pertama, kita mempromosikan pulau dan pantai, koridor kedua dipanggil koridor tengah yang mempromosikan kembara dan alam semula jadi.

"Koridor ketiga pula adalah koridor tanah tinggi dan koridor keempat juga dikenali sebagai ‘plus one’ ini merupakan laluan kereta api yang melalui kawasan-kawasan pedalaman di negeri ini seperti Lipis dan Mentakab,” katanya.

Sementara itu, dalam usaha memastikan sektor pelancongan Pahang terus berkembang, Tourism Pahang turut bekerjasama dengan negeri jajaran pantai timur iaitu Terengganu, Kelantan serta Johor dengan menawarkan perkongsian pakej pelancongan.

"Produk yang ada di negeri Pahang juga ditawarkan di negeri lain, jadi perkongsian dari segi pakej yang dijalankan oleh pemain industri dapat membantu negeri terlibat dan meningkatkan jumlah pelancong yang datang,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor