Pages

Tuesday, August 14, 2018

SAMPAI BILA KERAJAAN PH MAHU MAIN HELAH GUNA ALASAN 'EKONOMI YANG LEMAH'?






Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Annuar Nasara mempersoalkan sampai bila kerajaan mahu menggunakan alasan ‘ekonomi yang lemah’ sebagai helah untuk menutup kegagalan mereka menunaikan segala janji sebelum PRU ke 14 sepertimana yang terkandung di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Menurut Dr Shamsul, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mewariskan sebuah kerajaan yang kukuh dari sudut ekonomi dengan pakej stimulus dan ransangan ekonomi yang mantap, di mana ia telahpun terbukti dalam pemerintahan BN sebelum ini.

“Apakah Malaysia sudah bankrap ketika PH mengambil alih? Ke mana perginya pakar ekonomi mereka yang sepatutnya memberi tumpuan kepada ‘stimulus package’ dan formula terbaik untuk meringankan beban hidup rakyat.

“Mungkin kerajaan menganggap pemansuhan BTN dan Program Latihan Khidmat Negara yang diumumkan hari ini adalah untuk kebaikan rakyat dan meningkatkan taraf hidup mereka.

“Walhal pada saya ia cuma untuk meneruskan politik dendam kesumat dengan menghapuskan apa saja projek yang diperkenalkan di bawah Kerajaan BN,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tambah beliau, isu kelemahan ekonomi negara akan digunakan untuk menutup janji manifestonya kepada rakyat sudah diduga sebelum ini tetapi dalam masa yang sama, kerajaan merancang pembangunan yang berjumlah berbilion ringgit.

“Ia sesuatu yang sukar diterima dan tidak masuk akal. Dalam merancang pembinaan projek LRT Pulau Pinang yang bakal menelan belanja berbilion ringgit, dan usahasama kereta nasional ke-3 dengan Indonesia, kerajaan tampak tidak tahu mengurus kewangan negara dengan baik.

“Lebih menampakkan permainan persepsi oleh Kerajaan PH, ialah apabila memaklumkan pada rakyat perlunya menjual kapal mewah Equanimity untuk membayar hutang 1MDB. Semua ini boleh dipersoalkan kerana adalah sesuatu yang kurang waras memandangkan Kerajaan Amerika Syarikat belum pun secara rasminya memaklumkan Malaysia bahawa ia dibeli dengan wang rakyat.

“Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pula membuat kenyataan yang tidak meningkatkan keyakinan pemain ekonomi, kenyataan seperti budak sekolah umpamanya berkata, sistem percukaian SST akan lebih merancakkan pembangunan ekonomi dan negara tidak akan bankrap.

“Paling tidak masuk akal ialah helah Perdana Menteri untuk tidak memberi kenaikan gaji walau satu peratus pun kepada penjawat awam, kononnya menunggu sehingga ekonomi pulih,” ujarnya.

Sebab itu, beliau tidak terkejut dengan kenyataan Menteri Kerjaraya, Baru Bian yang mengumumkan tidak ada pemasuhan tol seperti yang dijanjikan oleh kerajaan PH, sama seperti janj-janji mereka yang lain termasuk pemansuhan dan kelonggaran pembayaran balik PTPTN.

“Pengumuman Menteri Kerjaraya, Baru Bian tidak sedikitpun memeranjatkan pembangkang kerana pemansuhan tol dan PTPTN yang didakwa sebagai sama jumlahnya dengan hutang 1MDB, sebenarnya cuma janji untuk menipu rakyat dan menggula-gulakan mereka.

“Penghapusan kutipan tol, yang membabitkan RM52 bilion dalam bentuk sukuk, amat mustahil dilaksanakan, lebih-lebih lagi dengan beberapa pembinaan lebuh raya bertol bernilai kira-kira RM40 bilion sekarang.

“Apakah kerajaan sanggup membayar balik kos pembinaan lebuh raya berkenaan dan menanggung biaya senggaraannya? Akhirnya Kerajaan Pakatan Harapan terpaksa mengakui kesukaran memansuhkan kutipan tol di seluruh negara,” jelasnya.

Justeru, Shamsul mempersoalkan bilakah pihak kerajaan akan dapat menunaikan janji-janji mereka untuk memansuhkan tol dan juga menyelesaikan isu pembayaran balik PTPTN sepertimana yang dijanjikan oleh mereka sebelum ini.

“Jadi, kita ingin mempersoalkan sampai bilakah kutipan tol akan dihentikan? Bagaimana pula dengan PTPTN? Sampai bila pula ekonomi negara akan dianggap kukuh untuk melaksanakan janji-janji PRU14 itu?

“Malah dalam keadaan Kerajaan PH mendakwa tiada wang, dalam RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan ) 2018 yang dibahas hari ini, diperuntukkan pula perbelanjaan untuk Formula 1 di bawah Kementerian Belia Dan Sukan?

“Ini semua tidak lain dan tidak bukan ada kerana dasar kerajaan hari ini yang sebenarnya tidak mesra rakyat tetapi lebih ‘mesra kroni-kroni’ kerajaan. Saya yakin, rakyat tidak akan berdiam diri dengan segala pembohongan dan putar-belit seumpama ini untuk selama-lamanya,” tegasnya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor