Pages

Wednesday, August 15, 2018

RAKYAT DITIPU MESTI BANGKIT BELA DIRI



Rakyat Ditipu Mesti Bangkit Bela Diri



MANIFESTO Pakatan Harapan (PH) telah terbukti sebenarnya hanya sebuah dokumen penipuan untuk memperdaya rakyat.

Begitu banyak janji dalam manifesto tidak ditunaikan dan nampaknya memang tidak ada hasrat menunaikannya.

Janji 10 perkara menjelang 100 hari sudah hampir sepenuhnya tidak terlaksana kerana tidak ada keupayaan.

Malah yang lebih buruk ialah hal-hal lain yang mencabar kedudukan Islam dan Melayu seperti termaktub dalam perlembagaan pula yang dilaksana dengan rakus.

Penjawat awam sepatutnya menerima kenaikan gaji pada Julai lalu, tetapi kerana Barisan Nasional (BN) sudah tidak berkuasa, itu hanya tinggal impian.

Selepas kenaikan gaji tidak diperolehi, perdana menteri pula berkata apa guna gaji tinggi kalau kuasa beli rendah.

Beliau cuba merendahkan kepentingan kenaikan pendapatan penjawat awam itu dengan komen sinis itu.

Tol percuma sepanjang lima Hari Raya yang dijanjikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak diganti dengan diskaun separuh harga.

Itu mungkin hanya bersifat jangka pendek, tetapi masih ramai yang belum marah masa itu kerana ada yang masih seronok dengan kejatuhan BN.

Sekarang ini semua janji mengurangkan kos sara hidup sudah “dicapati” oleh kerajaan PH, malah ditambah lagi dengan kenaikan.

Hapus tol, mansuh PTPTN, harga barangan lebih murah tanpa GST dan banyak lagi janji kepada golongan tertentu seperti peneroka Felda dan pemandu teksi gagal ditunaikan.

Bagi penjawat awam yang tidak naik gaji Julai lalu, mereka sebenarnya sudah kerugian kerana gaji tidak naik sedangkan apabila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksana nanti harga barang akan naik lagi.

Ini bermakna PH bukan sahaja menafikan kenaikan gaji, tetapi menambah beban kepada penjawat awam.

Bagi yang bukan penjawat awam, keadaan tetap bertambah buruk kerana janji PH ialah membantu rakyat mengurangkan kos hidup, tetapi sebaliknya pula yang diberikan.

Setakat ini, PH melaksanakan langkah-langkah yang tidak memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa rasa malu.

Sudah sampai masanya rakyat sedar dan berhenti daripada melayan emosi dan sentimen politik yang sempit.

Kebencian yang diapi-apikan terhadap pemimpin kerajaan sebelum ini akhirnya menatijahkan keburukan untuk diri sendiri.

Pengundi yang tertipu perlu insaf, dan apa yang sudah terjadi boleh dijadikan pengajaran agar tidak tertipu lagi pada masa depan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor