Pages

Saturday, August 11, 2018

KKM BAKAL HAPUS CAJ RM1, WAJIB ADA INSURANS?



KKM Bakal Hapus Caj RM1, Wajib Ada Insurans?



TINDAS… Rakyat miskin di negara ini tidak perlu lagi bayar RM1 untuk rawatan pesakit luar tetapi bakal wajib ada insurans sebelum boleh dapat perkhidmatan di klinik atau hospital kerajaan.

Berita ‘gembira’ itu didedahkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye yang dengan bangga menegaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka laksana sistem insurans kesihatan kebangsaan dalam beberapa tahun lagi.

Beliau menegaskan bahawa apabila semua pesakit dilindingi insurans, pihak hospital boleh mengenakan caj rawatan mengikut kadar kos ditetapkan dan bukan lagi cuma RM1 sebagai mana dilakukan Barisan Nasional (BN) selama ini.

“Wang ini sebenarnya boleh digunakan untuk subsidi insurans bagi semua orang,” dalih Boon Chye. Pada masa ini caj rawatan pesakit luar di semua klinik atau hospital kerajaan sejak 40 tahun lalu diwujudkan pihak BN hanya RM1.

Ini meliputi perubatan dan pergigian yang perlu dijelaskan ketika pendaftaran, manakala rawatan pakar, pesakit dikenakan lagi caj RM5 tetapi bagi kes lanjutan, kadarnya masih murah berbanding klinik atau hospital swasta.

Boon Chye ketika ditemui media selepas merasmikan pesta makanan amal anjuran Persatuan Thalassemia Perak di Kuil Tow Boo Keong, Ipoh, Perak baru-baru ini mendakwa konon hanya 30 peratus penduduk ada skim insurans.

Ia meliputi golongan kaya dan menengah atau T20 dan M40, namun kelompok berpendapatan sederhana ke bawah atau B40 pula ujar beliau, sebahagian besarnya langsung tiada perlindungan insurans kerana tidak berkemampuan.

Justeru kumpulan tersebut lazimnya lebih selesa mendapatkan rawatan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia waima terpaksa sabar menunggu giliran lebih lama berbanding pergi ke premis swasta yang mengenakan caj mahal.

Mengulas lanjut Boon Chye berkata, skim insurans nasional itu akan dibuat secara berperingkat dalam beberapa tahun dengan perlindungan minimum sehingga RM20,000 satu keluarga melibatkan premium RM1,000 setahun.

“Kadar ini lebih sesuai dan bagi keluarga yang berasa nilai perlindungan ini tidak cukup, mereka boleh tambah atau beli insurans swasta,” kata beliau dan mendakwa langkah itu akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2019.

Untuk rekod, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 2008, 2009 dan 2011 telah pun memutuskan hukum insurans konvensional adalah jelas haram bagi Muslim.

Bagaimanapun, umat Islam di negara ini diharuskan mengambil polisi perlindungan takaful yang patuh syariah ditawarkan daripada 12 syarikat pengendali berdaftar diberikan lesen operasi oleh pihak Bank Negara Malaysia.

Negara jiran kita, Singapura, sudah lama mewajibkan rakyatnya ada insurans sebelum boleh dapat rawatan di semua hospital dan klinik kerana kos minimum perubatan ditetapkan kira-kira RM100.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor