“Angah nak bawa ma (mak) pergi umrah.” itu antara ayat pertama yang diluahkan atlet angkat berat Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad sejurus memenangi pingat emas pertama negara dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, semalam.
Muhammad Azroy yang disapa dengan panggilan Angah sempat membuat panggilan video kepada keluarganya bagi memaklumkan kemenangannya itu.
Ibunya, Rohana Ahmad, 45, berkata, anak kedua dari lapan beradik yang mesra disapa Angah itu berpesan supaya menonton aksinya menerusi siaran langsung di televisyen kira-kira jam 6.30 pagi.
“Saya bangun jam 4 pagi dan memasak sebelum ke rumah kakak di Kampung Sungai Puteri untuk menonton acara yang disertai Angah bersama ahli keluarga yang lain.
“Ketika Angah diumumkan sebagai pemenang saya berasa seakan mahu pitam dan tidak percaya kerana anak saya berjaya menyumbang pingat untuk negara, perasaan terharu dan bangga semuanya bercampur baur,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Sepakat, di sini, hari ini.
Rohana berkata, sejak dari awal dia yakin Angah mampu meraih pingat emas meskipun pada mulanya anaknya itu agak ragu-ragu akan kemampuannya.
Katanya, hampir setiap hari dia akan menghantar mesej kata-kata semangat menerusi aplikasi WhatsApp kepada Angah bagi menaikkan moralnya.
“Saya berkata kepadanya yang dia mampu untuk meraih kemenangan dan membawa pulang pingat emas untuk saya dan adik-adiknya.
“Angah seorang yang sangat komited dengan apa yang dilakukannya dan bersungguh-sungguh setiap kali menjalani latihan, saya lihat bagaimana pengorbanannya sejak menceburkan diri dalam sukan berkenaan ketika berusia 14 tahun,” katanya.
Sementara itu, Exco Belia dan Sukan Pahang, Dato' Sri Mohd Johari Hussain berkata, ganjaran berbentuk lot tanah dan wang tunai akan dipertimbangkan kerajaan negeri sebagai hadiah kepada Muhammad Azroy.
Menurutnya, kejayaan atlet kelahiran Rompin itu amat dibanggakan apatah lagi Azroy muncul sebagai atlet pertama negara yang menyumbang emas melalui acara snatch 56 kilogram di Arena Sukan Carrara, Gold Coast.
“Kejayaan Azroy ini berjaya mengekalkan imej Rompin sebagai daerah yang melahirkan ‘badang’ sekali gus pertahan Rompin sebagai daerah yang terkenal dengan sukan angkat berat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor