Semporna – Didepan lebih 14,000 penduduk Semporna, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman hari ini menceritakan buat kali pertama bagaimana persahabatan mereka dikhianati oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Kata Perdana Menteri, yang menganggap Mohd. Shafie yang juga bekas Naib Presiden UMNO itu sebagai sahabat karibnya, kedudukan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu dalam UMNO tidak akan meningkat jika tidak kerana pertolongannya.
“Saya tolong dia lebih banyak daripada apa yang saya lakukan untuk (Ketua Menteri Sabah) Tan Sri Musa Aman. Musa sudah menjadi ketua menteri apabila saya menjadi perdana menteri.
“Saya membantu Shafie menjadi Naib Presiden UMNO dari Sabah, yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia adalah peluang luar biasa yang diberikan kepadanya. Sekiranya saya tidak berkempen untuknya, dia tidak akan menang,” kata Najib yang dipetik dari portal Agendadaily, hari ini.
Selain itu, kata Najib, beliau melantik Mohd. Shafie sebagai menteri yang menjaga pembangunan luar bandar kerana percaya portfolio itu akan membantu merangsang kemajuan Sabah.
Berucap di hadapan penduduk Semporna dan penyokong Barisan Nasional (BN) pada majlis pelancaran Hab Pelancongan di sini, Najib berkata, namun Shafie memilih untuk tidak melakukan kerja dengan tekun dan enggan bekerjasama dengan orang lain.
“Saya telah beri nasihat kepada Shafie, berulang kali, untuk dia bekerja dengan Musa, tetapi dia (Shafie) tidak dengar. Saya kecewa dalam keadaan tertentu dia tikam saya dari belakang… pedih rasanya apabila sahabat karib berbuat demikian,” kata Perdana Menteri.
“Saya masih boleh terima jika anda tidak suka saya, saya tidak meminta anda untuk menjadi setia kepada saya sebagai individu, tetapi setia kepada kepimpinan parti serta kerajaan,” ujarnya.
Menurut Najib yang juga Pengerusi BN itu, beliau tidak boleh bercakap lebih lanjut mengenai Mohd. Shafie kerana terasa sakit apabila bercakap mengenainya.
Mohd. Shafie meninggalkan UMNO selepas dia digantung dari jawatannya berikutan serangan yang dilakukan terhadap kepimpinan parti dan kini memimpin Parti Warisan di Sabah.
Sementara itu, Musa pula menceritakan, bagaimana beliau sendiri diminta oleh ahli UMNO untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO tetapi memberi laluan kepada Mohd. Shafie untuk mengelakkan dua calon dari Sabah mencari kedudukan yang sama.
“Sebelum itu, pada tahun 2003, semasa pemilihan Majlis Tertinggi, kami berdua bertanding dan saya menduduki tempat keempat dengan 1,837 undi manakala Shafie diletakkan pada kedudukan kelapan dengan 1,672 undi – saya boleh bertanding sebagai jawatan naib presiden (2009), tetapi saya memberi jalan kepadanya.
“Dia minta saya membantunya (dalam berkempen), saya berkata baik dan saya memanggil semua ketua bahagian di seluruh Sabah untuk sarapan bersama Shafie, saya meminta semua orang menyokongnya sebagai calon tunggal dari Sabah,” katanya.
Kata Musa, selepas menang, bekas Naib Presiden UMNO itu langsung tidak mengucapkan terima kasih, malah menuduhnya cuba mensabotaj beliau.
“Apabila beliau menang (Naib Presiden), Perdana Menteri melantiknya jawatan penting yang tidak pernah dipegang seorang pemimpin Sabah iaitu Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah,” katanya.
Musa berkata, Shafie tidak pernah melawatnya selepas menjadi menteri yang dilantik setiap kali dia kembali ke Sabah, tidak seperti menteri Persekutuan lain yang datang dari Sabah.
“Saya menganggapnya sebagai abang dan kawan… Kita berdua rakyat Sabah, kenapa tidak datang (dan memberitahu) Musa ini peruntukan saya (kementerian), kita membincangkan apa yang kita boleh buat di Sabah, itulah yang saya harapkan, tetapi tidak pernah berlaku.
“Jika dia mahu saya datang ke Kuala Lumpur dan berjumpa dengannya di sana, saya pergi, tetapi saya tidak pernah mendapat jemputan… walaupun pintu saya sentiasa dibuka,” kata Musa.
Musa berkata, lebih mengecewakan apabila Mohd. Shafie menentang Najib dan mengkhianatinya.
Beliau menambah, Najib memberikan sokongan kuat kepada Shafie sehingga ramai yang menganggap mereka sebagai saudara.
“Pada masa itu Perdana Menteri lebihkan Shafie berbanding saya, tetapi saya tidak kecewa kerana saya tahu Shafie adalah timbalannya (Najib) di Kementerian Pertahanan (sebelum ini). Jadi, bagaimana dia sanggup ‘menikam’ Najib,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor